Nazirul menamatkan perlumbaan kelas CP 150 pada Cubprix Malaysia Petronas Pusingan ke-7 di Perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra. FOTO/SHARUL HAFZ ZAM
Nazirul menamatkan perlumbaan kelas CP 150 pada Cubprix Malaysia Petronas Pusingan ke-7 di Perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra. FOTO/SHARUL HAFZ ZAM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PELUMBA ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin berjaya menamatkan kemarau kemenangan pada musim ini apabila menjuarai perlumbaan CP150 Pusingan ke-7 kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 di Kangar hari ini.

Pelumba kelahiran Negeri Sembilan itu tampil memberi saingan di Stadium Tuanku Syed Putra apabila bermula di petak keempat bagi memberi saingan sengit kepada pendahulu keseluruhan kelas CP150, Ahmad Afif Amran.

Nazirul Izzat menamatkan 20 pusingan perlumbaan itu dengan catatan masa 14:39.128 saat (s) diikuti pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues (14:39.184s) dan rakan sepasukannya Md Akiz Aziz (14:39.371s).

Nazirul berkata, kemenangan ini begitu bermakna buat dirinya apabila hanya meraih tempat kedua dalam pusingan sebelum ini.

"Memang saya bersyukur sebab sebelum ini hanya merasa tempat kedua sahaja di Kuala Nerus, Terengganu malah pada pusingan kelayakan semalam saya menduduki tempat ketiga.

"Pasukan sememangnya mengharapkan kemenangan ini kerana rakan sepasukan, Md Muzakkir Mohamed terbabas ketika di pusingan ke sembilan hari ini.

"Malah tidak lupa juga kepada keluarga serta ahli pasukan yang bertungkus lumus memberikan tunjuk ajar, kata semangat serta persediaan jentera bagi mengharungi pusingan pada kali ini," katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, pendahulu keseluruhan kelas CP150, Ahmad Afif Amran masih mengekalkan status pendahulu kelas selepas mengutip 107 mata diikuti Azroy Hakeem Anuar (94 mata) dan Md Akid Aziz (76 mata).

Bagi kelas CP115, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli berjaya menewaskan seteru utamanya dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff apabila menjadi juara dengan catatan masa 11:47.993s.

Dalam pada itu, tiga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing mendominasi podium bagi kategori Wira di Kangar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:08 PM