Adib menamatkan penantian 11 tahun tanpa kejuaraan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP125 musim ini.
Adib menamatkan penantian 11 tahun tanpa kejuaraan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP125 musim ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Adib Rosley akhirnya menamatkan penantian 11 tahun tanpa kejuaraan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP125 musim ini.

Pada aksi di Litar Sepang Selatan, hari ini, menyaksikan Adib yang kali terakhir bergelar juara pada tahun 2010 menamatkan aksi pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di kedudukan keenam.

Pelumba itu yang menggalas cabaran pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing mengutip 10 mata sekali gus sudah cukup untuk memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan keseluruhan 160 mata.

Adib berkata, keputusannya tidak mahu mengambil risiko terlalu tinggi dengan terlalu 'memerah' jentera membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan perlumbaan tanpa masalah.

"Pada perlumbaan ini, saya hanya ingin berlumba secara selamat dan tidak mahu mengambil risiko yang terlalu tinggi terutama sekali apabila saya mengetahui bahawa Hafiza (Mohd Hafiza Rofa) menghadapi masalah teknikal," katanya.

Dalam perlumbaan, hari ini rakan sepasukan Adib, Mohd Fareez Afeez Abd Rahman muncul juara mengatasi pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Syafiq Rosli yang menamatkan saingan di tempat kedua.

Pelumba Tuneboss Pink Racing, Mohd Harith Farhan Baharin pula mengakhiri perlumbaan di kedudukan ketiga.

Sementara itu, perebutan takhta dalam CP150 akan ditentukan di Pusingan 10 apabila Ahmad Afif Amran dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing berjaya merampas kedudukan pendahulu selepas memenangi perlumbaan Pusingan 9.

Afif, yang sedang memburu gelaran juara ketiga dalam kelas perdana mencatat kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 15 minit 53.188 saat (s).

Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menduduki tempat kedua disusuli Kasma Daniel Kasmayudin ketiga.

Kategori Wira KBS turut menyaksikan perubahan berlaku apabila pelumba Moto1 Koyoko Honda KC Racing, Mohd Irfan Haykhal Amidi mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan selepas berjaya meraih kemenangan ketiganya musim ini dengan catatan masa 11:16.411s.

Kemenangan ketiga berturut-turut ini meletakkan Irfan di tangga teratas kejuaraan Wira KBS dengan 125 mata.

Mohd Aqil Danial Nasrul yang memimpin buruan juara Wira KBS sepanjang musim ini, jatuh ke tangga kedua dengan 123 mata apabila hanya berjaya menamatkan perlumbaan Pusingan 9 di tempat ke-6.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:15 PM