HAMIDIN anggap jumlah gaji bersifat peribadi dan tak perlu didedahkan.
HAMIDIN anggap jumlah gaji bersifat peribadi dan tak perlu didedahkan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengganggap persoalan tentang jumlah tangga gaji yang diperolehinya selaku Presiden badan induk itu bersifat peribadi dan ia tidak perlu untuk dikongsikan.

Bagaimanapun katanya, perkara pokok yang perlu difahami semua pihak adalah keputusan membenarkan Presiden FAM memperolehi gaji sudah diluluskan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi (Exco) badan induk itu ketika di bawah pentadbiran Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM sebelum ini.

Hamidin menegaskan, statusnya sebagai presiden sepenuh masa dan menerima beberapa faedah sudah ditetapkan ketika beliau dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018 bagi menggantikan Tunku Ismail yang ketika itu masih bergelar Tunku Mahkota Johor (TMJ).

"Saya nak maklumkan semasa Tunku Ismail menjadi Presiden FAM dan beliau mahu serahkan jawatannnya ketika itu, ada pendapat bahawa tidak perlu lagi kerabat diraja masuk dalam (jadi Presiden FAM).

"Jadi Tunku Ismail mahukan individu yang boleh menjadi presiden sepenuh masa seperti yang dilakukan beberapa negara seperti Korea Selatan, Thailand, Mongolia, Guam, Jepun dan Vietnam.

"Malah Presiden AFC, Sheikh Salman Ibrahim Al Khalifa dan Presiden FIFA, Gianni Infantino juga presiden sepenuh masa dengan menerima beberapa faedah.

"Tunku Ismail cadangkan saya sebagai presiden dengan beberapa faedah dan selepas berbincang, saya setuju sebelum diumumkan sebagai Presiden Eksekutif sepenuh masa. Saya juga membawa perkara ini pada kongres dan mereka setuju untuk memberi sokongan kepada saya," katanya.

Terdahulu, tersebar surat layang yang dikirimkan oleh individu tidak dikenali yang mendedahkan rasuah dan salah guna kuasa dalam kepimpinan serta pengurusan FAM.

Ia termasuk pendedahan mengenai gaji lumayan yang diterima Hamidin selaku Presiden yang didakwa mencecah RM90,000 sebulan dan itu tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Fifa.

Jumlah itu nyata menarik perhatian peminat bola sepak tempatan yang menyifatkan ia agak lumayan ketika fungsinya hanya menjaga sebuah persatuan sukan di negara yang hanya menghuni ranking ke-132 dunia itu.

"Itu pun (media) nak tahu. Suka hatilah dengan apa semua. Tak boleh (dedahkan amaun). Itu punya 'personal' lah dengan FAM dengan ini semua. 'That's one too much' dengan ini semua. (Adakah jumlah ditetapkan dipersetujui EXCO?) Tiada, memang kita dah daripada yang lepas 2018," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 2:59 PM