SEYBOTH cemerlang tundukkan Medvedev. -FOTO AFP
SEYBOTH cemerlang tundukkan Medvedev. -FOTO AFP
AFP

Paris: Pemain tenis nombor dua dunia, Daniil Medvedev tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Perancis apabila tewas dalam pertarungan lima set kepada pemain ranking ke-172, Thiago Seyboth Wild.

Seyboth Wild yang tidak pernah memenangi perlawanan Grand Slam sebelum ini mara dari pusingan kelayakan, menang 7-6 (7/5), 6-7 (6/8), 2-6, 6-3, 6-4 dalam perlawanan itu.

Ia adalah kekalahan kelima Medvedev di pusingan pertama dari tujuh penampilan di Roland Garros.

Medvedev tiba di Paris dengan memenangi gelaran gelanggang tanah liat pertamanya di Terbuka Itali minggu lalu untuk trofi kelimanya pada 2023.

"Ini adalah seperti mimpi menjadi nyata apabila dapat menewaskan pemain hebat seperti ini di gelanggang ini," kata pemain Brazil berusia 23 tahun itu.

"Saya mengalami kekejangan pada set kedua dan tidak dapat melakukan servis seperti yang saya mahukan tetapi saya cuba bermain dan memberi aksi terbaik."

Seyboth Wild tidak memenangi sebarang perlawanan dalam jelajah utama sejak Februari 2022, beraksi selama empat jam 15 minit iaitu satu daripada 21 rekod Grand Slam dalam pertarungan lima set di pusingan pertama.

Medvedev yakin pemain Seyboth akan melonjak ke kelompok 30 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini selepas itu menewaskannya.

Medvedev percaya pemain Brazil itu mampu menjadikan kemenangan ke atasnya sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan lebih besar.

"Jika dia terus bermain begitu, pada pendapat saya, menjelang akhir tahun ini dia akan berada dalam kelompok 30 terbaik," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 11:38 AM