TEBOGO (kiri) yakin penguasaan atlet pecut Afrika sepanjang 2024 termasuk di Olimpik Paris. FOTO AFP
TEBOGO (kiri) yakin penguasaan atlet pecut Afrika sepanjang 2024 termasuk di Olimpik Paris. FOTO AFP
AFP

Nairobi: Pemenang pingat perak 100 meter (m) dunia dari Botswana, Letsile Tebogo berkata, dia percaya 2024 akan menjadi tahun pelari pecut Afrika melangkah untuk menguasai musim trek dengan kemuncaknya di Olimpik Paris.

Pelari berusia 20 tahun itu sudah memulakan musim dengan cemerlang dengan mencatat rekod dunia dalam acara 300m lelaki di Afrika Selatan pada Februari lalu.

Tebogo bersedia untuk bersaing Sabtu ini dalam acara 200m di Kip Keino Classic di Nairobi, sebahagian daripada Jelajah Benua Olahraga Dunia, pertandingan satu peringkat di bawah Liga Berlian.

"Saya sangat percaya ini adalah tahun Afrika apabila anda melihat Ferdy (Omanyala dari Kenya) dan Akani (Simbine dari Afrika Selatan) dan saya sendiri, kami berada di sana untuk menguasainya," katanya kepada pemberita.

Di Budapest tahun lalu, Tebogo menjadi pelari Afrika pertama memenangi pingat 100m di Kejohanan Dunia dan turut menambah gangsa 200m dalam koleksinya.

Omanyala hanya menduduki tempat ketujuh dalam 100m akhir dunia itu tetapi memegang rekod Afrika 9.77 saat.

"Omanyala adalah lelaki terpantas di Afrika dalam 100m dan saya terpantas dalam 200m," kata Tebogo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:28 PM