NADAL membalas pukulan De Minaur pada perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
NADAL membalas pukulan De Minaur pada perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Rafael Nadal berkata, Terbuka Perancis pada bulan depan adalah kesempatan 'memberikan segala-galanya atau mati di gelanggang', selepas tersingkir di Terbuka Barcelona di tangan Alex de Minaur, awal pagi tadi.

Juara 22 kali Grand Slam itu yang kembali beraksi selepas berehat tiga bulan akibat kecederaan, tewas 5-7 dan 1-6 di tangan pemain ke-11 dunia dari Australia itu di pusingan kedua.

Nadal, 37, yang terlepas sepanjang musim 2023 berharap dapat bertanding di Terbuka Perancis, bulan depan iaitu kejohanan dimenanginya sebanyak 14 kali.

Jaguh Sepanyol itu berkata, pertembungan dengan De Minaur bukan detik menjadi sasaran utamanya, sebaliknya dia menyasarkan kembali ke Roland Garros dengan lebih baik kerana ia mungkin penampilan terakhir dalam kariernya.

"Bagi tahap peribadi, kekalahan 1-6 pada set kedua itu adalah apa yang berlaku pada hari ini," kata Nadal yang menjelaskan cabaran lebih besar menanti selepas ini.

"Bukan hari ini saya perlu memberikan segala-galanya dan bermati-matian. Saya memberi peluang kepada diri sendiri untuk berbuat demikian dalam masa beberapa minggu lagi atau sekurang-kurangnya mencuba," kata Nadal kepada media.

"Saya akan terus mencuba di Madrid, satu lagi di Rome dan kemudian di Paris... itu adalah saat untuk memberikan segala-galanya, tiada tempat lebih baik untuk berbuat demikian."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:16 AM