IZZAH layak ke Olimpik Paris 2024.
IZZAH layak ke Olimpik Paris 2024.
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Meskipun tidak dapat meraikan sambutan Aidilfitri di Malaysia, pengorbanan itu cukup berbaloi untuk pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang tanpa disangka layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri tahun ini kerana beraksi dalam saingan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada.

Nurul Izzah menganggap menamatkan perlumbaan keirin pada kedudukan kelapan keseluruhan di Milton sebagai pencapaian terbaik diraihnya.

"Apabila dapat layak ke Olimpik, saya rasa raya ini terubat, pergi (Kanada) tidak kosonglah… ada hasil walau dapat tempat kelapan sahaja. Sebelum ini saya tidak pernah melepasi pusingan pertama (keirin) dan apabila berlumba ke pusingan terakhir, ia pencapaian terbesar saya," kata Nurul Izzah, sebaik tida di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Dia tiba bersama seorang lagi pelumba negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan ketua jurulatih, John Beasley.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, semalam memaklumkan Nurul Izzah bersama dua lagi pelumba lelaki, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom secara tidak rasminya sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris bagi acara pecut dan keirin.

Nurul Izzah layak selepas menghasilkan keputusan positif pada perlumbaan di Milton.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley berkata, aksi di Olimpik Paris akan menjadi persiapan terbaik buat Nurul Izzah untuk menghadapi Sukan Olimpik 2028.

"Dia persiapan kita untuk projek LA 2028, dia akan pergi ke Olimpik Paris untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman. Dia pelumba sangat berpotensi.

"Dia berada pada usia yang sama dengan Datuk Azizulhasni (Awang) ketika mula mencipta nama… bertubuh kecil dan eksplosif. Kami memberikan dia pendedahan yang diperlukan dan ia kini sudah mula membuahkan hasil yang positif.

"Tiada harapan besar untuk Izzah di Paris, jika dia dapat pingat ia sesuatu yang hebat tetapi sasaran utama kami adalah Olimpik 2028," kata Beasley.

Untuk rekod, Nurul Izzah wanita kedua negara beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas Fatehah Mustapa yang beraksi dalam acara keirin di Olimpik London 2012, dan pecut di Rio 2016.

Namun Nurul Izzah menjadi pelumba trek wanita pertama layak ke Olimpik dalam dua acara iaitu keirin dan pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 5:33 PM