AZIZULHASNI (kiri) dan Shah Firdaus sandaran negara di Olimpik Paris. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI (kiri) dan Shah Firdaus sandaran negara di Olimpik Paris. FOTO AZRUL EDHAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan dua pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus secara tidak rasmi sudah layak bertanding di Sukan Olimpik Paris dalam acara keirin dan pecut.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, dua pelumba harapan negara itu hampir pasti akan berlumba di Paris nanti dan mereka tidak keseorangan apabila bakal ditemani seorang lagi pelumba trek wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang juga sebelah kaki akan ke temasya itu.

Hal ini disebabkan, Nurul Izzah berjaya tampil aksi cemerlang ketika di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Milton, Kanada baru-baru ini.

"Secara tidak rasmi, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus telah layak ke Sukan Olimpik Paris untuk kedua-dua acara keirin dan Pecut.

"Kita juga ada pelumba trek wanita, Nurul Izzah Izzati secara tidak rasmi juga akan bertanding di Sukan Olimpik Paris dalam acara keirin dan pecut selepas dia menampilkan aksi cemerlang di UCI di Milton, Kanada pada 14 April lalu," katanya.

Namun begitu, Amarjit memaklumkan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) akan mengeluarkan keputusan rasmi senarai nama yang akan bertanding di temasya terbesar dunia itu pada 22 April ini.

Pelumba wanita yang sedang meningkat naik dan nama Nurul Izzah semakin menjadi bualan selepas berjaya mencipta kejayaan dalam pertanding yang disertainya sehingga diberi jolokan The Pocket Rocketwoman.

Malah, dia sebelum ini mencipta sensasi apabila dia berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil wanita dalam berbasikal trek di pentas Olimpik adalah menerusi Fatehah Mustapa yang beraksi pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:38 PM