BEASLEY gembira dengan persembahan ditunjukkan barisan pelumba di ACC. FOTO AZRUL EDHAM
BEASLEY gembira dengan persembahan ditunjukkan barisan pelumba di ACC. FOTO AZRUL EDHAM
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley melihat skuad berbasikal trek negara berjaya menampilkan prestasi cemerlang di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi India yang berlangsung pada minggu lepas.

Bagi Beasley, biarpun ada negara yang tidak menghantar pelumba terbaik mereka, Malaysia memandang dari sudut positif dan mengambil pendekatan yang sama serta ACC sememangnya adalah satu pertandingan yang sengit serta bertaraf tinggi.

Antara pelumba yang berjaya menonjol sudah pasti kelibat pelumba wanita yang boleh bergelar Nurul Izzah Izzati Mohd Asri selepas berjaya menghadiahkan dua pingat emas menerusi acara keirin wanita dan acara 500 (m) ujian masa.

"Saya rasa kita memberikan saingan yang baik dan secara keseluruhan, kita memperoleh keputusan yang sangat hebat. Kami tidak bermimpi dengan tahap yang kita ada buat masa ini walaupun kita ada pasukan yang begitu muda.

"Sasaran kita adalah untuk menyiapkan mereka bagi temasya 2028 dan sepanjang enam hari ini, bakat yang sedang kita bangunkan dan kembangkan ini begitu menyerlah. Ada lagi yang boleh ditunjukkan jadi kita harus sentiasa konsisten.

"Saya gembira dengan persembahan ditunjukkan barisan pelumba kita dan ia dibalas dengan pingat yang kita menangi," kata Beasley.

Secara keseluruhannya, Malaysia berada di kedudukan ketiga apabila membawa pulang dua pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa sementara Jepun muncul juara keseluruhan dengan 15 pingat emas dan China di tempat kedua hanya empat pingat emas.

Pada masa sama, kejayaan di New Delhi itu dapat atas usaha keras yang ditunjukkan oleh semua atlet negara dan ia diterjemahkan dengan pungutan pingat yang berjaya dibawa pulang.

"Kejayaan ini datang hasil proses yang baik dan usaha keras mereka selain banyak pengorbanan yang sudah dilakukan.

"Kami bertuah kerana ada pasukan hebat yang sentiasa bekerjasama dengan sangat baik," kata Beasley.

Selain pingat emas acara keirin wanita dan 500 (m) ujian masa wanita, Malaysia turut memenangi pingat perak dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta pingat gangsa dalam acara pecut lelaki, pecut wanita dan keirin wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 5:58 PM