IZZAH, Azizul dan Firdaus secara rasmi layak ke Olimpik Paris.
IZZAH, Azizul dan Firdaus secara rasmi layak ke Olimpik Paris.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiga pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri hari ini mengesahkan tempat ke temasya Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan oleh Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas menerima pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) awal pagi tadi.

Ia bermakna tiga pelumba negara itu menyertai kelompok enam atlet negara yang sudah mengesahkan tempat ke Paris sebelum ini iaitu Bertrand Rhodict Lises dari sukan akuatik - terjun, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh dalam satu kenyataan berkata, UCI secara rasmi mengumumkan kuota pelumba trek itu, kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) setiap negara.

"Kami berbangga kita mempunyai tiga wakil dalam acara trek di Paris, apabila Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus layak bagi dua acara keirin dan pecut.

"Nurul Izzah juga akan membuat penampilan pertama dan kedua-dua acara di temasya sukan terbesar dunia itu," kata Amarjit.

Mengulas mengenai persediaan pasukan trek negara, Amarjit berkata, PKBM sudah merangka program latihan untuk tempoh tiga bulan menjelang temasya itu.

Ia akan bermula dengan latihan pusat di Veledrom Nilai sebelum beralih ke Eropah, iaitu Belgium, Sepanyol dan England dan akhirnya terus menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Minggu lalu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI, memberitahu Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah secara tidak rasmi layak ke Paris berdasarkan kedudukan ranking diumumkan UCI selepas perlumbaan Piala Negara-Negara di Milton, Kanada, namun hari ini, secara rasminya tiga pelumba terbabit mendapat slot secara merit ke Paris.

Pada temasya kali ini, Malaysia akan mempunyai empat atlet berbasikal masing-masing tiga di trek dan satu dalam acara jalan raya iaitu Aisyah yang menjadi pelumba wanita Malaysia pertama layak beraksi di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 11:59 AM