MALNATI mengucup trofi selepas muncul juara Kejohanan Valspar. FOTO REUTERS
MALNATI mengucup trofi selepas muncul juara Kejohanan Valspar. FOTO REUTERS
AFP

Miami: Peter Malnati mengakhiri kemarau kejuaraan selama sembilan tahun apabila melakukan birdie di lubang kedua terakhir untuk memenangi Kejohanan Valspar dalam siri Jelajah Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Pemain AS berusia 36 tahun itu melakukan empat bawah par 67 di pusingan terakhir untuk melengkapkan 72 lubang dengan 12 bawah 272, sekali gus mengatasi rakan senegara, Cameron Young di lapangan Innisbrook Copperhead di Palm Harbor, Florida.

"Anda bimbang jika tidak mampu untuk menang lagi," kata Malnati sambil menangis dan beberapa kali berhenti bercakap dengan suara tersekat-sekat serta emosi.

"Ia sangat sukar. Dalam tempoh sembilan tahun sejak kali terakhir saya menang, ia sesuatu yang sangat sukar.

"Tahap tinggi ramai bakat di sini, pemain mula menyerlah pada usia 20 tahun serta bersedia bermain pada peringkat ini dan mereka sangat bagus. Anda semakin bimbang.

"Jadi, apabila dapat mengecapi detik seperti ini, ia memang menakjubkan."

Malnati yang menduduki ranking ke-184, hanya memiliki satu gelaran dalam 258 aksi jelajah PGA iaitu juara Kejohanan Sanderson Farms pada 2015.

Lebih 3,000 hari kemudian, Malnati meraikan kejayaan bermakna itu bersama keluarganya di green lubang ke-18.

"Saya sangat bersyukur. Anda tidak mampu membayangkannya," kata Malnati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 11:01 AM