TIGER WOODS
TIGER WOODS
Reuters

Florida: Tiger Woods akan meneruskan persiapannya untuk ke kejohanan AS Masters dengan menyertai Kejuaraan Valspar yang bakal berlangsung di Palm Harbor, Florida, minggu ini dan pertandingan berkenaan akan turut menyaksikan penampilan pemain nombor empat dunia, Jordan Spieth.

Nama besar lain yang turut bertanding di lapangan Copperhead yang terkenal dengan fairway sempit dan green sukar itu ialah juara empat kejohanan utama, Rory McIlroy, juara Masters, Sergio Garcia dan pemain nombor lima dunia, Justin Rose.

Bagi Woods yang kembali menyertai pertandingan tahun ini selepas menjalani pembedahan tulang belakang April tahun lalu, kelihatan sudah sembuh sepenuhnya dan penampilannya pada kejohanan kali ini akan menjadi yang keempat dalam Jelajah PGA.

Juara 14 kejohanan utama itu yang menamatkan saingan di kedudukan ke-12 di Honda Klasik dua minggu lalu - keputusan terbaiknya sejak 2015 - kembali dengan harapan untuk mencari rentak sebelum menyertai Masters yang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 8 April di Lapangan Kebangsaan Augusta.

Woods akan memulakan saingan Khamis ini bersama Spieth dan pemain nombor 14 dunia dari Sweden, Henrik Stenson.

Spieth, Rose, Garcia dan McIlroy adalah antara pemain pilihan dalam kejohanan berkenaan tetapi tidak seorangpun daripada mereka yang menjulang gelaran Jelajah PGA tahun ini.

Ketika hanya berbaki beberapa kejohanan sebelum Masters, sudah tentu masing-masing mahu memburu kejayaan bagi melonjakkan semangat.

Pemain nombor 71 dunia, Bill Haas akan tampil buat kali pertama sejak terselamat daripada kemalangan kereta tiga minggu lalu.

Pemain Kanada, Adam Hadwin yang menang di Copperhead pada 2017, kembali mempertahankan gelaran.

Lapangan Copperhead terkenal dengan tiga lubang yang direka berdekatan antara satu sama lain dan digelar ‘Snake Pit’. Di tengah-tengahnya ialah lubang par 3 yang terkenal dengan pelbagai halangan dan diapit dua lubang par 4 yang sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 12:07 PM