SARAH lepasi ketinggian 3.90m di Taiwan.
SARAH lepasi ketinggian 3.90m di Taiwan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi mempamerkan peningkatan dalam lompatannya apabila melepasi ketinggian 3.90 meter (m) di Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa Dalam Dewan Taiwan baru-baru ini.

Dia menamatkan kedudukan di tempat keempat di kejohanan berkenaan, tewas kepada atlet dari Jepun yang meraih emas selepas merekodkan ketinggian 4.36m diikuti atlet Thailand dan Jepun yang melepasi ketinggian 3.90m untuk meraih perak dan gangsa selepas perkiraan semula.

Bagi jurulatih Sarah yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara lompat bergalah dengan ketinggian 4.40m, Roslinda Samsu berkata, Sarah berjaya menamatkan saingan seperti yang disasarkan.

"Ada peningkatan dari segi lompatannya. Ketika di Kejohanan Olahraga All-Comers Kuala Lumpur dua minggu lalu, Sarah melepasi ketinggian 3.60 dan kali ini dia melepasi 3.90m.

"Dia berjaya menepati sasaran ditetapkan kepadanya dan juga semakin serasi dengan galah barunya. Saya puas hati dengan pencapaian dia kerana dia baru empat minggu kembali berlatih selepas kecederaan dan kini masih dalam fasa persediaan sebelum ke AUG (Sukan Universiti Asia Tenggara) Julai nanti. Jadi setakat ini dia berada dalam landasan yang tepat," kata Roslinda.

Roslinda berkata, ia kali kedua Sarah menggunakan galah yang panjang 4.30m itu di kejohanan selepas kali pertama menggunakannya ketika temasya Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.

Sarah yang juga atlet kelahiran Pahang itu selepas ini dijadualkan menyertai Kejohanan Olahraga Johor Siri pada 20 April.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 3:04 PM