SARAH akan beraksi di Sukan Sea Kemboja. FOTO Saifullizan Tamadi
SARAH akan beraksi di Sukan Sea Kemboja. FOTO Saifullizan Tamadi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun dilanda kontroversi berhubung isu jurulatih, ketua jurulatih olahraga negara, Zaki Sadri menegaskan bahawa atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi masih relevan menghadiahkan emas buat kontinjen olahraga negara di temasya Sukan Sea Kemboja Mei ini.

Zaki yang juga atlet legenda negara dalam acara lompat kijang ketika ini menegaskan bahawa Sarah akan diletakkan di bawah penguasaan bekas atlet negara yang juga pemenang rekod kebangsaan dalam acara itu, Roslinda Samsu.

Dalam masa yang sama, Zaki turut menyarankan Sarah memberi fokus kepada acara pecut yang mana dia turut disenaraikan dalam acara 4x100 meter wanita.

"Saya ada berbincang dengan Sarah dan Sarah berkata dia tiada masalah tentang latihan dan dia pun kita dah letakkan di bawah penguasaan Roslinda.

"Mungkin dari segi latihan agak berbeza tetapi saya melihat berdasarkan pencapaian terkini Sarah dia masih konsisten lompat 4m dan tiada masalah jika dia gagal lepasi 4m, kita masih lagi boleh perbaiki keperluannya," katanya.

Tegas Zaki latihan Sarah untuk acara pecut dilihat mampu untuk membantu atlet berusia 23 tahun itu.

"Saya sarankan dia buat latihan pecut ketika ini, Kejayaan pada Sukan Sea sebelum ini adalah disebabkan dia mempunyai kelajuan yang bagus.

"Dalam acara pecut dia akan berlatih di bawah jurulatih Mohd Poad Kassim," katanya.

Tegas Zaki, Sarah kini dilihat lebih matang untuk menangani sebarang isu dan situasi itu dibuktikan dengan kejayaannya di Taiwan baru-baru ini yang mana ia menjadi kayu pengukur kepada kemampuannya.

Kejohanan Jemputan Taiwan itu menyaksikan Sarah meraih perak dengan lompatan setinggi 4m.

Emas di kejohanan itu dimenangi atlet Amerika Syarikat, Jill Marois yang merekodkan ketinggian 4.10m manakala Mayu Nasu dari Jepun dan atlet Thailand, Chonthicha Khabut masing-masing mencatatkan 3.90m untuk berkongsi pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 5:33 PM