Roslinda (kanan) ketika mengendali sesi latihan skuad olahraga Sekolah Sukan Pahang. FOTO File NSTP
Roslinda (kanan) ketika mengendali sesi latihan skuad olahraga Sekolah Sukan Pahang. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


BEKAS jaguh lompat bergalah negara, Roslinda Samsu akan menggunakan segala ilmu yang dituntut di di Universiti Johannes Gutenberg, Mainz untuk pembangunan sukan itu di Malaysia.

Roslinda menamatkan pelajarannya di Jerman dan dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik Diploma Kejurulatihan selepas setahun menuntut ilmu di sana.

Atlet kelahiran Kedah itu meluahkan rasa bersyukurnya kepada semua yang memberi sokongan dan dorongan untuk terus menabur ilmu dalam sukan olahraga negara.

"Alhamdulillah selesai sudah perjuangan selama setahun. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kesatuan Olahraga Malaysia di atas peluang dan ruang yang diberikan kepada saya.

"Insya Allah saya akan gunakan ilmu yang diperoleh untuk membantu program pembangunan olahraga di Malaysia," katanya yang akan kembali menyambung tugas sebagai guru dan jurulatih di Sekolah Sukan Malaysia Pahang apabila pulang ke tanah air.

Mengulas mengenai ilmu yang dipelajari, pemenang pingat perak Sukan Asia, Doha 2006 itu berkata, beliau belajar lebih mendalam dalam sukan dan sains sukan dan cara merancang program latihan dengan lebih baik.

Selain itu, Roslinda berkata, beliau turut mempelajari program pembangunan olahraga di Jerman yang bakal digunakan untuk membantu program akar umbi dalam pencarian bakat dalam sukan lompat bergalah di Malaysia nanti.

Roslinda adalah pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan catatan 4.40 meter (m), pernah meraih emas di Kejohanan Asia 2007 di Jordan selain merangkul empat emas berturut-turut di Sukan SEA.

Untuk rekod hingga kini masih tiada lagi atlet wanita yang berjaya melepasi ketinggian sempat meter selepas Roslinda mengumumkan persaraannya pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 6:32 PM