SINNER (kiri) dilihat mempunyai keupayaan sama seperti Djokovic (kanan). FOTO AFP
SINNER (kiri) dilihat mempunyai keupayaan sama seperti Djokovic (kanan). FOTO AFP
Agensi

London: Bekas beregu nombor satu dunia, Rennae Stubbs percaya bahawa Jannik Sinner adalah 'versi yang sama' seperti legenda tenis, Novak Djokovic kerana kesempurnaan dalam permainannya.

Sinner sering dibandingkan dengan Djokovic oleh beberapa pemerhati sukan memandangkan kedua-duanya dilihat sangat baik ketika mendominasi gelanggang.

Djokovic masih mengungguli rekod pertemuan 4-3 ke atas Sinner walaupun juara Grand Slam 24 kali itu sudah tewas tiga daripada empat pertembungan terakhirnya dengan bintang muda itu.

Sinner menewaskan pemain nombor satu dunia itu pada separuh akhir Terbuka Australia Januari lalu dalam laluannya memenangi mahkota utama sulungnya.

Pemain nombor tiga dunia itu menamatkan rekod 33 kemenangan berturut-turut pemenang Terbuka Australia sebanyak 11 kali itu di Melbourne, manakala dia juga memperoleh dua kemenangan menentang bintang Serbia itu pada November tahun lalu.

Sinner sudah memenangi empat daripada tujuh pertemuannya dengan pemenang utama dua kali, Alcaraz, termasuk dua pertemuan terakhir.

Bercakap di Podcast Tenis Rennae Stubbs Racquet, Rennae memuji Sinner dan menyamakan pemain berusia 22 tahun itu dengan Djokovic yang berusia 36 tahun.

"Saya rasa Sinner mempunyai lebih banyak kelebihan (berbanding Alcaraz). Saya fikir dia boleh menjadi pemain lebih baik.

"Dia mempunyai pukulan forehand yang hebat, malah memenangi beberapa mata menerusinya ketika menentang Alex de Minaur (di Rotterdam). Dia seperti versi Novak Djokovic," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 10:54 AM