RAFAEL Nadal memenangi 22 gelaran Grand Slam sepanjang kariernya setakat ini. FOTO AFP
RAFAEL Nadal memenangi 22 gelaran Grand Slam sepanjang kariernya setakat ini. FOTO AFP
AFP

Madrid: Rafael Nadal memuji seteru utamanya, Novak Djokovic sebagai pemain terbaik dalam sejarah sukan itu.

"Angka-angka mengatakan ya, bagi saya ya (Djokovic adalah yang terbaik dalam sejarah)," kata Nadal dalam temu bual dengan El Objective de La Sexta ketika ditanya "siapa yang terbaik?"

Djokovic mencapai 24 gelaran Grand Slam sekali gus mengatasi 22 gelaran milik Nadal ketika dia memenangi Terbuka Perancis tahun lalu.

Di sebalik kejayaan itu, pemain nombor satu dunia dari Serbia yang sering mencetuskan kontroversi itu masih bergelut untuk menukar persepsi kejayaannya di atas gelanggang kepada populariti di luar gelanggang.

"Imej yang ditonjolkannya lebih teruk daripada yang sebenarnya, saya rasa dia seorang yang baik.

"Ada saat-saat apabila berasa kecewa Novak menghempas raketnya, tetapi dia kemudian bersedia untuk bermain pada tahap 100 peratus dan ia adalah yang terbaik pernah saya lihat," tambah Nadal.

Nadal, 37, bergelut dengan kecederaan dan terlepas hampir keseluruhan kejohanan sepanjang 2023. Dia mengalami kecederaan sekali lagi bulan lalu sebelum tersingkir di Terbuka Australia.

Dengan kariernya semakin pudar, Nadal memuji rakan senegara dan penggantinya, Carlos Alcaraz yang sudah pun memenangi dua gelaran utama pada usia 20 tahun.

"Carlos mempunyai tahap permainan tenis yang luar biasa, dia adalah pemain yang sangat lengkap dalam setiap segi.

"Saya tidak nampak kelemahan dalam dirinya seperti yang saya alami ketika usianya. Dia mempunyai semua ramuan untuk mengharungi karier yang luar biasa," kata Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 9:26 AM