ZHE Yie (tengah) memenangi Jersi Putih pada Jelajah Negeri Sembilan 2023 yang berakhir semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
ZHE Yie (tengah) memenangi Jersi Putih pada Jelajah Negeri Sembilan 2023 yang berakhir semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pelumba basikal Terengganu bakal memulakan persiapan latihan secara agresif bermula awal Januari depan, dalam usaha mempertahankan reputasi pasukan itu pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak.

Ketua jurulatih basikal Sukma Terengganu, Anuar Manan berkata, ketika ini terdapat seramai sembilan pelumba terbaik yang bakal dijadikan sandaran bagi kutipan pingat emas pada temasya di Sarawak itu nanti.

Katanya, pihaknya serius untuk memastikan Terengganu dapat terus mendominasi acara lumba basikal pada temasya sukan terbesar negara itu.

"Setakat ini Terengganu mempunyai sembilan pelumba terbaik yang berusia antara 17 hingga 21 tahun bagi persiapan menghadapi Sukma di Sarawak tahun depan.

"Untuk tempoh berikutnya kita sudah merancang untuk memulakan latihan secara berpusat bermula Januari depan dan kita hendak menyertai lebih banyak perlumbaan bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

"Sebagai contoh, kita akan sertai kejohanan di China, Indonesia dan Thailand tahun depan untuk pastikan pelumba Terengganu membiasakan diri bersaing dalam perlumbaan berkelas tinggi," katanya ketika ditemui selepas berakhir Jelajah Negeri Sembilan 2023, di sini, semalam.

Bekas pelumba kebangsaan yang memegang gelaran raja pecut secara hatrik pada 2007, 2008 dan 2009 itu berkata, selain melahirkan lebih ramai pelumba pelapis berprestasi tinggi, fokus utama beliau untuk pastikan pelumba Terengganu terus unggul di pentas kejohanan tertinggi.

"Kita hendak pastikan setiap pelumba Terengganu tidak kira yang muda mahupun senior dapat kekalkan prestasi mereka pada setiap saingan disertai," katanya.

Mengulas pencapaian Terengganu di Jelajah Negeri Sembilan, Anuar menegaskan pihaknya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan dipamerkan enam pelumba muda dari negeri itu.

Menurutnya, walaupun Kee Zhe Yie dilihat lebih menyerlah apabila dia mendominasi hampir keseluruhan empat peringkat perlumbaan untuk memenangi Jersi Putih bagi kategori Bawah 23 Tahun, namun lima pelumba lagi turut bersaing baik.

"Zhe Yie baharu berusia 20 tahun, tapi dia berjaya tunjukkan prestasi membanggakan apabila menduduki tempat ketiga keseluruhan perlumbaan Jersi Kuning.

"Dia adalah sandaran utama kita di Sukma nanti dan beliau telah buktikan kemampuan sebenar pada kejohanan ini sebagai pelumba muda yang memiliki potensi besar untuk menyinar dalam sukan berbasikal negara," kata Anuar yang menyifatkan penyertaan Terengganu antara persiapan untuk hadapi Sukma 2024.

Jelajah Negeri Sembilan 2023 anjuran Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) disertai 20 pasukan membabitkan lapan pasukan negeri dan 12 kelab berbasikal termasuk dua kelab dari luar iaitu Filipina dan Myanmar dengan seramai keseluruhan 103 pelumba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 2:39 PM