NUR Aiman menyumbang emas kedua buat skuad berbasikal Johor. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI JOHOR (MSNJ).
NUR Aiman menyumbang emas kedua buat skuad berbasikal Johor. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI JOHOR (MSNJ).
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pelumba basikal Johor terus menguasai acara berbasikal di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 apabila merangkul dua pingat emas menerusi acara ujian masa individu lelaki dan wanita, hari ini.

Emas kedua kontinjen Johor disumbangkan Muhammad Nur Aiman Rosli yang memenangi ujian masa individu lelaki sejauh 39.9 kilometer di D'tempat Country Club, Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan.

Aiman yang juga juara kejohanan kebangsaan sebanyak tiga kali berturut-turut itu menepati ramalan memenangi acara itu selepas mencatatkan 53 minit dan 08.865 saat (s).

Pingat perak dimenangi pelumba Terengganu, Kee Zhe Yie yang melakar 53:44.086s, manakala pelumba Perak, Muhammad Yusri Shaari membawa pulang gangsa menerusi catatan 54:06.108s.

Terdahulu, pelumba wanita Johor, Siti Nur Adibah Alma Mohd Fuad muncul pemenang pingat emas pertama Sukma 2022 apabila memenangi acara 30km ujian masa individu wanita.

Nur Adibah mencatat masa 44:25.801s diikuti pelumba Perak, Nyo Chi Hui dengan catatan 45:52.607s dan Siti Nur Alia Mansor dari Terengganu melengkapkan podium di tempat ketiga (46:25.155s).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 5:28 PM