KHAIRY Jamaluddin (kiri) bersama pemenang Jelajah Negeri Sembilan 2023 di Bandar Sri Sendayan, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
KHAIRY Jamaluddin (kiri) bersama pemenang Jelajah Negeri Sembilan 2023 di Bandar Sri Sendayan, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dari Buceros Cycling Team (BUC) berjaya mengekalkan kedudukan di posisi keseluruhan perlumbaan peringkat terakhir Kejohanan Jelajah Negeri Sembilan 2023, hari ini.

Pelumba kebangsaan berusia 25 tahun itu memenangi Jersi Kuning selepas mengumpul catatan masa keseluruhan untuk empat peringkat perlumbaan 9 jam 23 minit dan 17 saat (s).

Tempat kedua diraih pelumba dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhammad Afiq Huznie Othman, dengan catatan masa 9:23.28s manakala pelumba Terengganu, Zhe Yie Kee menduduki tempat ketiga dengan catatan 9:23.40s.

Muhammad Afiq Huznie mengekalkan reputasinya tersendiri apabila mempertahankan Jersi Hijau selaku Raja Pecut selepas mengumpul 44 mata keseluruhan.

Dia mengenepikan pencabar terdekat Abdul Azim Aliyas dari NS Black Panther dan Muhammad Nur Aiman Rosli (BUC) yang masing-masing mengumpul 41 mata keseluruhan.

Sementara itu, pelumba ATM, Muhammad Zawawi Azman ternyata memiliki kehebatan tersendiri dengan mempertahankan Jersi Merah selaku Raja Bukit untuk keseluruhan peringkat perlumbaan dengan mengumpul 12 mata.

Tempat kedua milik Mohammad Saari Amri Abd Rasim dari Helaz Cycling Team (HLZ) yang meraih 8 mata dan Muhammad Qaiyyum Mohd Saiful Anuwai (TPA) merekodkan 6 mata.

Reputasi Yie Kee ternyata sukar digugat pelumba lain apabila mendominasi Jersi Putih yang membabitkan kategori Bawah 23 Tahun selepas mengumpul catatan masa keseluruhan 9:23.40s.

Dia meninggalkan Muhammad Haizam Mohd Shabri (TPA) yang mencatatkan 9:23.53s dan Muhammad Faiz Fakhri Omar dari Malaysia Pro Cycling (MPC), 9:23.55s.

Dalam pada itu, semua pelumba yang bersaing pada pelumbaan stage 4 d'Tempat Criterium hari ini, tetap memperagakan kayuhan bertenaga bagi mendapatkan mata bonus.

10 pelumba dalam kumpulan hadapan masing-masing mencatat masa sekitar 54 minit membabitkan jarak perlumbaan sejauh 42 kilometer.

Shaiful Adlan menyifatkan sasaran peribadinya pada Jelajah Negeri Sembilan tahun ini tercapai meskipun diberikan saingan sengit pelumba lain.

"Sangat berpuas hati dengan pencapaian ini, namun ianya juga adalah hasil bantuan rakan sepasukan.

"Saya bangga kerana dapat menjulang nama BUC pada jelajah kali ini," katanya yang akan meneruskan persiapan bagi menyertai satu kejohanan di Indonesia bulan depan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS), Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan yang menyertai kejohanan itu.

Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, PBNS bukan saja akan meneruskan jelajah berkenaan pada masa hadapan malah merancang menambah peringkat pelumbaan.

"Kita akan lihat sambutan akan datang untuk tambah peringkat pelumbaan dan menarik lebih ramai penyertaan pasukan. Kejohanan ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan bantuan semua pihak," katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Keputusan penuh

Kategori keseluruhan:

1. Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri (BUC) - 9:23.17s

2. Muhammad Afiq Huznie Othman (ATM) - 9:23.28s

3. Zhe Yie Kee (TRG) - 9:23.40s

Jersi Merah: Muhammad Zawawi Azman (ATM)

Jersi Hijau: Muhammad Afiq Huznie Othman (ATM)

Jersi Kuning: Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri (BUC)

Jersi Putih: Zhe Yie Kee (TRG)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:27 PM