KHAIRY (kiri) bersama barisan pemenang. FOTO Mohd Amin Jalil
KHAIRY (kiri) bersama barisan pemenang. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kejohanan lumba basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 menutup tirainya petang semalam dengan pasukan Terengganu menjulang kejuaraan biarpun diberikan tentangan sengit pelumba pasukan lain.

Prestasi pelumba Terengganu sepanjang tiga hari perlumbaan jelas membuktikan pasukan terbabit memiliki reputasi tersendiri dan sudah bersiap sedia lebih awal untuk menggegar temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur, tahun depan.

Ini selaras dengan matlamat penganjuran jelajah berkenaan oleh Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan yang menjelaskan objektif pertandingan sebagai persiapan menghadapi Sukma 2022.

Presiden PBNS, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penganjuran kejohanan itu penting bagi mendedahkan pelumba dengan format perlumbaan jelajah selain menjadi pemangkin kepada kejayaan pelancongan sukan di negeri terbabit.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Rembau berkata, perlumbaan itu juga dapat merancakkan semula industri sukan berbasikal tempatan selepas terjejas teruk akibat Covid-19.

"Kejohanan ini memberi peluang kepada persatuan negeri untuk menguji pelumba masing-masing sebelum menghadapi Sukma," katanya yang hadir pada hari terakhir pelumbaan dan menyampaikan hadiah.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya sendiri menyambut baik langkah PBNS menganjurkan kejohanan itu.

Beliau yang tidak menyangka prestasi membanggakan pelumba Terenganu berkata kejohanan itu membangkitkan semangat baharu buat pelumba muda negara.

"Saya bangga dengan apa dipamerkan semua pelumba dan pencapaian pelumba Terengganu dan ini membuktikan kita sudah bersedia walaupun bukan sepenuhnya untuk hadapi Sukma.

"Dana yang kami laburkan bagi membina pasukan nampaknya sudah menampakkan hasil yang baik walaupun ini pelumbaan pertama dan ternyata kami amat berpuas hati," katanya ketika ditemui.

Jurulatih pasukan Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Akmal Amrun berkata, pihaknya puas hati dengan prestasi pelumbanya walaupun tidak memiliki warna jersi tapi berjaya naik podium.

"Kami tidak menjangka pelumba MSN dapat memberikan saingan hebat kerana pada awalnya kami tidak menetapkan sasaran dan tambahan pula kita tahu pasukan seperti Terengganu, Johor, Kuala Lumpur dan Perak antara jaguh tempatan.

"Namun mereka membuktikan keupayaan masing-masing. Ini suatu permulaan yang baik bagi kami untuk merangka strategi kerana minggu depan kami akan menyertai suatu lagi kejohanan kebangsaan.

"Sebenarnya kami sedang masuk ke fasa pembangunan semula selepas selama ini duduk saja kerana Covid-19 dan prestasi pelumba amat memberangsangkan dalam usaha kami membuktikan rentak terbaik akan datang," katanya.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM15,000 itu membabitkan kayuhan sejauh 384 kilometer merentasi sebahagian besar Negeri Sembilan iaitu melalui Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau.

Seramai 80 pelumba daripada 14 pasukan termasuk negeri, akademi dan pelapis mengambil bahagian dengan perlumbaan mengikut format jelajah manakala aspek teknikal seperti ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:39 PM