Menteri Kesihatan yang juga Presiden PLBNS, Khairy Jamaluddin menyerahkan dokumen berkaitan kejohanan kepada Yunus selepas mengadakan mesyuarat di Seremban, baru-baru ini. FOTO Ihsan Yunus Ibrahim
Menteri Kesihatan yang juga Presiden PLBNS, Khairy Jamaluddin menyerahkan dokumen berkaitan kejohanan kepada Yunus selepas mengadakan mesyuarat di Seremban, baru-baru ini. FOTO Ihsan Yunus Ibrahim
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kejohanan Berbasikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 yang bakal membuka tirainya, esok bakal mencuri tumpuan selepas aktiviti sukan berbasikal terhenti seketika kerana pandemik Covid-19.

Kejohanan anjuran Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan itu bakal membabitkan kayuhan sejauh 384 kilometer merentasi sebahagian besar negeri itu melalui Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau.

Timbalan Presiden PLBNS, Yunus Ibrahim berkata, hadiah keseluruhan sebanyak RM15,000 bakal menjadi rebutan 120 pelumba daripada 14 pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan.

Katanya, keseluruhan pelumba yang mengambil bahagian terdiri daripada mereka yang berusia antara 17 hingga 22 tahun.

"Pada peringkat awalnya, kami menerima permintaan daripada beberapa pasukan dan kelab basikal luar negara terutama dari rantau ini untuk menyertai kejohanan ini.

"Bagaimanapun, kami terpaksa memaklumkan kepada mereka bahawa penyertaan hanya membabitkan pelumba dalam negara susulan kebimbangan penularan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan kategori pelumba muda sebagai pendedahan kepada mereka selain memberi ruang kepada pasukan negeri menguji pelumba masing-masing menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur dan Johor, akan datang.

Menurutnya, pasukan yang mengambil bahagian termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) selain Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Putrajaya, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan.

"Manakala pasukan akademi ialah TSG Cycling Academy dan Darul Naim Cycling Academy," katanya.

Yunus berkata, perlumbaan akan mengikut format perlumbaan jelajah manakala aspek teknikal seperti ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Katanya, biarpun penganjurannya bersifat sederhana dengan membabitkan pelumba muda, namun pihaknya mengharapkan kejohanan ini bakal mencetuskan semangat baharu kepada setiap pasukan dan pelumba yang mengambil bahagian.

"Malah melihat kepada barisan pelumba dan persiapan yang dibuat, saya yakin kejohanan ini bakal menjanjikan saingan sengit daripada pelumba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:56 PM