EAIN Yow meraih emas selepas menewaskan  jaguh India. FOTO Asyraf Hamzah
EAIN Yow meraih emas selepas menewaskan jaguh India. FOTO Asyraf Hamzah
Syafiq Aznan


Hangzhou: Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow mengakui tiada apa yang berada dalam fikirannya pada aksi final perseorangan lelaki skuasy Sukan Asia 2022 selain mahu melakukannya demi Malaysia.

Eain Yow menuai pingat emas kelima buat negara selepas menundukkan pemain dari India, Ghosal Saurav 3-1 pada aksi final di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou itu, petang tadi.

"Saya tak fikir sangat apabila masuk ke gelanggang dan saya gembira untuk memenangi pingat emas ini untuk Malaysia. Semuanya saya buat demi Malaysia, setiap bola yang saya kejar, setiap keputusan yang saya buat, adalah demi Malaysia. Saya lega dapat menghadiahkan pingat emas untuk negara," kata Eain Yow.

Sebagai rekod, kejayaan diraih Eain itu membolehkan juara Asia itu membalas dendam ke atas Ghosal yang sebelum ini menewaskannya 3-1 pada separuh akhir acara berpasukan lelaki, sebelum ini.

Malah, dia mengakui berada pada tahap yang lebih baik pada aksi final kali ini berbanding minggu lalu.

"Perlawanan sangat sengit tetapi mental dan fizikal saya lebih kuat serta berada dalam keadaan lebih bagus berbanding minggu lalu.Saya dapat buat apa yang saya mahukan di dalam gelanggang dan ia membantu saya mendapatkan pingat emas," katanya.

Ini pingat emas ketiga daripada sukan skuasy selepas mereka sudahpun menuai emas dalam acara berpasukan wanita dan perseorangan wanita menerusi S Sivasangari sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 8:06 PM