EAIN Yow beraksi menentang Abdulla Al Tamimi. FOTO Asyraf Hamzah
EAIN Yow beraksi menentang Abdulla Al Tamimi. FOTO Asyraf Hamzah
Syafiq Aznan


Hangzhou: Jaguh skuasy negara, Ng Eain Yow melengkapkan hari gemilang skuad skuasy negara apabila turut melangkah ke final bagi acara perseorangan lelaki Sukan Asia 2022, sebentar tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu menundukkan pemain dari Qatar, Abdulla Altamimi 3-1 sekali gus mara ke penentuan pingat emas, esok.

Juara Asia itu mengikut jejak langkah rakan sepasukan iaitu Syafiq Kamal-Aira Azman dan juga S Sivasangari yang terlebih dahulu menempah slot ke final masing-masing bagi acara beregu campuran dan perseorangan wanita.

Pada aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, Eain Yow berdepan tentangan sengit khususnya pada set pertama yang menyaksikan dia tewas 10-12 di tangan Abdulla.

Namun dia bangkit melakar kemenangan 11-7, 11,9 dan 11-5 sekali gus menoktahkan kemenangan dengan keputusan 3-1.

"Saya rasa ini satu perlawanan agak susah dan kita lihat mata pun agak dekat. Saya kecewa pada set pertama kerana meskipun berjaya menyamakan kedudukan kepada 10-10 selepas ketinggalan 10-7 tetapi saya gagal meraih kemenangan.

"Saya berjaya kekalkan corak permainan saya dan saya rasa mental saya lebih kuat berbanding dengannya. Jadi saya gembira kerana dapat masuk ke final," katanya.

Menanti Eain Yow di final adalah antara Leung Chin Hin (Hong Kong) ataupun Saurav Ghosal (India).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 6:39 PM