PEMAIN skuasy negara dan  pegawai bergambar  sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
PEMAIN skuasy negara dan pegawai bergambar sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Syafiq Aznan


Hangzhou: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam mengakui 'goyang' atas kemungkinan skuad skuasy negara bakal pulang tanpa sebarang pingat emas pada temasya Sukan Asia 2022.

Namun kerisauan itu lenyap selepas skuad skuasy negara muncul juara keseluruhan pada edisi di Hangzhou apabila menuai tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Tiga emas masing-masing dituai menerusi acara berpasukan wanita, perseorangan wanita (S Sivasangari) dan perseorangan lelaki (Ng Eain Yow).

Pingat perak disumbangkan gandingan Syafiq Kamal-Aifa Azman dalam acara beregu campuran sementara gangsa dalam acara berpasukan lelaki - Malaysia menang pingat dalam semua lima acara disertai.

"Saya rasa sebelum permainan bermula, saya rasa peluang kita adalah sama ada boleh dapat lebih daripada dua pingat disasarkan ataupun kita balik tanpa sebarang pingat emas langsung.

"Kita ada saingan sangat sengit dalam semua acara kita sertai. Saya bangga dengan pemain perseorangan kita. Begitu juga dengan beregu campuran yang hanya tewas tipis pada final hari ini (semalam).

"Jadi secara keseluruhan, SRAM sangat berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian pemain kita di Sukan Asia 2022," kata Maniam.

Dalam masa sama, Maniam turut menyifatkan pencapaian di Hangzhou itu sebagai antara pencapaian terbaik buat skuad skuasy negara dalam kempen Sukan Asia.

"Kalau tidak silap saya, kita mendapat satu lagi pingat gangsa di Guangzhou tetapi bagi edisi 2022, kita boleh katakan antara pencapaian terbaik kita juga. Ini hari yang hebat untuk skuasy negara dan Malaysia.

"Terima kasih pada semua pihak yang sentiasa membantu kita dalam menaikkan sukan skuasy," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 4:18 PM