Atlet negara, Muhd Azeem Fahmi menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Asia 2022 di Universiti Sukan Zhejiang. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Atlet negara, Muhd Azeem Fahmi menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Asia 2022 di Universiti Sukan Zhejiang. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Oleh Aida Adilah Mat


Hangzhou: Temasya Sukan Asia adalah pentas terbaik buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk membuktikan bahawa siapa sebenar jaguh Asia Tenggara.

Azeem yang ditemui ketika sesi latihan di sini berkata, ini adalah saingan yang diidamkannya kerana ia adalah platfrom terbaik untuk dia buktikan kemampuan sebenar selepas penyertaannya ketika temasya Sukan Sea Hanoi 2021 yang lalu dibatalkan berikutan 'false start'.

Pentas Sukan Asia kali ini menjanjikan pertarungan antara bekas juara remaja dunia dari Indonesia 2018, Lalu Muhammad Zohri dan raja pecut Asia Tenggara di 2021, Puripol Boonson.

Biarpun Jepun tak menghantar barisan terbaiknya iaitu juara Kejohanan Asia di Bangkok yang lalu, Hiroki Yanagita dan Abdul Hakim Sani Brown yang memiliki catatan masa terpantas 9.98s, kehadiran dua pelari senior Yuki Koike, Yoshihide Kiryu sudah cukup menjanjikan cabaran sengit.

"Sukan Asia adalah platfrom terbaik untuk saya buktikan bahawa bukan saja saya layak berlari di pentas Sukan Asia tapi saya terpantas di Asia Tenggara.

"Dengan adanya mereka ia membantu saya lebih bersemangat untuk buktikan apa yang saya boleh," katanya.

Azeem akan membuka tirai saingan esok apabila turun beraksi dalam acara saringan 100m. Turut beraksi esok di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou adalah atlet 400m Umar Osman dan Zaidatul Husniah Zulkifli (100m) wanita.

Kali terakhir Azeem menyertai kejohanan kompetitif adalah di Kejohanan Dunia di Budapest yang mana dia merekodkan masa 10.26s jauh daripada catatan terbaik peribadinya tahun ini.

Dia yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mencatat masa terbaik musim 10.11s di Kejohanan SEC Outdoors 2023, Mei lalu.

Katanya, selepas menyertai ATF dan Kejohanan Dunia, dia bersama jurulatih, Ken Harnden membuat kaji selidik untuk memperbaiki beberapa perkara yang mengganggu lariannya.

"Selepas balik dari Kejohanan Dunia saya dan Ken melakukan kaji selidik mencari kelemahan yang mengganggu larian saya.

"Alhamdulillah saya dah jumpa benda itu dan dan semuanya sudah diperbaiki sebelum datang ke sini.

"Jadi saya harap ia akan membantu saya memperbaiki catatan masa kali ini," katanya.

Lima tahun lalu di Palembang-Jakarta acara 100m dikuasai pelari China, Su Bingtian yang merekodkan rekod baru kejohanan 9.92s diikuti pelari Qatar, Tosin Ogunode (10s) dan Ryota Yamagata (10s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:15 PM