KEHADIRAN Azeem diakui memberi impak kepada kuartet 4x100m negara. -FOTO Stadium Astro
KEHADIRAN Azeem diakui memberi impak kepada kuartet 4x100m negara. -FOTO Stadium Astro
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu untuk bergelar pelari terbaik Asia dan tidak mustahil dunia satu hari nanti.

Apa yang penting adalah percaya kepada proses kerana Azeem baru berusia 19 tahun dan tujuh bulan berkelana di Amerika Syarikat.

Berakhirnya acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, semalam Azeem sudah membuktikan dia boleh mencabar pelari senior apabila menjadi pelari kelima terbaik Asia dengan catatan 10.25s.

"Azeem sebenarnya sudah memberi persembahan yang sangat baik di Bangkok ini dan kehadirannya sangat memberi kesan terutama kepada kuartet 4x100 meter (m) negara.

"Saya yakin dalam masa setahun dua ini Azeem akan menjadi yang terbaik di Asia dan dunia," katanya.

Malah Poad turut meluahkan keyakinan bahawa Azeem mampu untuk berlari lebih laju selepas ini.

"Dia belum mendapat sentuhan sepenuhnya daripada jurulatihnya, Ken (Harnden) sebab baru tujuh bulan berada di AS dan juga baru menyertai NCAA (Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan).

"Apa yang penting ketika ini adalah 'trust the process'," katanya.

Malah jurulatih Azeem, Harnden yang diterbangkan ke Bangkok turut meluahkan keyakinan Azeem mampu berlari bawah 10s berdasarkan sikap positif atlet dari Teluk Intan, Perak itu.

Azeem kini berpangkalan di Universiti Auburn, AS mendapat sentuhan ketua jurulatih, Leroy Burrell selain jurulatihnya sendiri, Harnden.

Burrell adalah bekas pemenang rekod dunia 100 meter (m) manakala Harnden memenangi pingat gangsa 400m berpagar di Sukan Komanwel 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 2:35 PM