AZEEM raih emas acara 200m di Terbuka Singapura. -FOTO Ihsan Facebook
AZEEM raih emas acara 200m di Terbuka Singapura. -FOTO Ihsan Facebook
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi memberi amaran awal kepada pesaingnya di pentas Sukan Sea Manila bulan depan apabila dia berjaya menguasai acara 200 meter (m) pada saingan Terbuka Singapura, semalam.

Azeem,18, yang semakin membina nama dalam acara berkenaan dilihat cukup sukar digugat untuk memastikan emas miliknya menerusi catatan masa terpantas 21.52 saat (s) sekali gus mengatasi atlet Singapura, Reuben Rainer Lee yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 21.59s.

Gangsa dimenangi pelari yang mewakili Wings Athletic Club, Jonathan Bull dengan catatan 23.13s.

Azeem berkata, kejayaan yang diperoleh itu sebagai azimat untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan pada penyertaannya di kejohanan akan datang.

"Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana dapat tamatkan larian hari ini (semalam). Ini adalah pengalaman yang cukup berharga buat saya apabila dapat berlari dengan pelari pecut dari negara lain.

"Sebenarnya saya tidak letak sebarang sasaran pun untuk kejohanan ini sebaliknya hanya mahu mendapatkan semula momentum larian selepas kembali menjalani latihan penuh.

"Apa pun saya gembira dengan catatan masa di kejohanan ini," kata Azeem yang mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 200m 21.04s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 2020.

Mengikut rekod,Pada 2019, Azeem yang diberi gelaran 'Usain Bolt Malaysia' mencetuskan fenomena apabila diiktiraf sebagai pelari remaja terpantas dunia untuk peringkat bawah 16 tahun dalam acara 200m apabila mencatatkan masa 21.24s di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang mana ketika itu dia berusia 15 tahun.

Sementara itu, atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mendapat tonik terbaik menjelang Sukan Sea Hanoi di Vietnam, bulan depan apabila meraih gangsa, semalam.

Ziyad yang membuat lontaran sejauh 16.54 meter (m) terpaksa akur tewas di tangan dua atlet Filipina, John Albert Mentua yang memenangi emas dengan catatan 17.33m manakala Wiiliam Edward mraih perak 16.6m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:58 PM