BARISAN pelumba TSG yang bakal beraksi di LTdL musim ini. FOTO TSG.
BARISAN pelumba TSG yang bakal beraksi di LTdL musim ini. FOTO TSG.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gabungan pelumba tempatan dan import menjadi taruhan pasukan berstatus benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) untuk memburu jersi dan podium dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bakal membuka tirainya pada 23 hingga 30 September ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, enam pelumba itu membabitkan tiga pelumba tempatan iaitu Mohd Harrif Saleh, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif manakala pelumba import terdiri daripada Jeroen Meijers, Jambaljambts Sainbayar dan Youcef Reguigui.

Katanya, enam pelumba itu akan diketuai pemenang pingat emas Sukan Sea di Kemboja 2023 acara lepas beramai-ramai, Nur Amirul Fakhruddin.

"Pihak pengurusan memilih enam pelumba tempatan dan import itu berdasarkan prestasi dan kemampuan masing-masing untuk bersaing dalam perlumbaan paling berprestij negara itu.

"Kita harap enam pelumba itu mampu bersaing hebat lebih-lebih bakal beraksi di bumi sendiri," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya mengenai sasaran pasukan, Nasiruddin berkata, pihak pengurusan menyasarkan untuk memburu sekurang-kurangnya satu jersi dan satu podium keseluruhan.

"Sasaran kita sekurang-kurangnya mahu memburu satu jersi daripada dua jersi dimenangi pada musim lalu iaitu sama ada mempertahankan gelaran Raja Bukit ataupun jersi pasukan terbaik Asia.

"Selain itu kita juga menyasarkan sekurang-kurangnya satu podium dalam siri jelajah itu serta cuba memperbaiki catatan yang lebih baik berbanding edisi tahun lalu.

"Kita berkeyakinan pemegang jersi putih (terbaik Asia) musim lalu, Sainbayar mampu mengulangi pencapaian itu pada kali ini," katanya.

Peringkat pertama daripada lapan peringkat keseluruhan itu akan bermula dari Kerteh, Kemaman ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer (km) manakala peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2km.

Pada edisi tahun lalu, TSG meraih dua jersi menerusi Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Raja Bukit - jersi merah jambu) dan Jambaljamts Sainbayar (Pelumba Terbaik Asia - jersi putih) manakala bagi kategori berpasukan, ia berakhir di tangga keenam.

Bagi kedudukan keseluruhan, Sainbayar yang berasal dari Mongolia muncul pelumba terbaik TSG di tangga kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 3:28 PM