HAMIDIN (kanan) bersama Nicol bertanya khabar Nur Dhabitah (kiri) dan Pandelela ketika lawatan ke Pusat Akuatik Negara, Bukit Jalil, hari ini.
HAMIDIN (kanan) bersama Nicol bertanya khabar Nur Dhabitah (kiri) dan Pandelela ketika lawatan ke Pusat Akuatik Negara, Bukit Jalil, hari ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Cabaran dan rintangan termasuk isu membelenggu atlet dalam program Road to Gold (RTG) tidak akan dibiarkan terlalu lama, sebaliknya akan diselesaikan selepas Aidilfitri.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, terdapat beberapa elemen yang disuarakan atlet, namun tidaklah membabitkan masalah besar dan boleh diatasi segera.

"Berdasarkan apa yang disuarakan tadi, kita boleh selesaikan cepat, lepas raya sudah boleh selesaikan, begitu juga dengan isu membabitkan pemain badminton.

"Perkara itu boleh diselesaikan dan kita akan pastikan (kehendak atlet) dilaksana secepat mungkin, tak boleh ditangguhkan, tak boleh tunggu mesyuarat RTG seterusnya, kita perlu selesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pada lawatan terbabit, Hamidin turut mendengar pandangan dan luahan dua atlet terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang berada dalam program RTG.

Sebelum ini, Pandelela menyuarakan hasrat untuk skuad terjun diberikan perkhidmatan tetap pasukan sains sukan, ketika menjalani latihan tempatan, latihan di luar negara dan ketika mengambil bahagian di kejohanan antarabangsa.

Akuatik menjadi destinasi kedua CDM dan timbalannya, Datuk Nicol Ann David melakukan lawatan selepas ke kem latihan badminton pada Rabu lalu.

Hamidin berkata, sekiranya ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, beliau akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk memastikan isu dihadapi atlet RTG tidak berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 5:03 PM