KOLEJ Poly-Tech MARA (kiri) menentang Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam permainan PES 2019 Kejohanan e-Sukan Kampus di Sunway Pyramid. — FOTO Khairul Azhar Ahmad
KOLEJ Poly-Tech MARA (kiri) menentang Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam permainan PES 2019 Kejohanan e-Sukan Kampus di Sunway Pyramid. — FOTO Khairul Azhar Ahmad
Aida Adilah Mat


SEBANYAK 48 pasukan dari lima zon beraksi pada Grand Final XPAX Kejohanan e-Sukan Kampus (KEK) sulung dan terbesar di negara ini yang menyaksikan wakil institusi pengajian tinggi bersaing merebut gelaran juara bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Acara e-Sukan kampus terbesar di Malaysia itu dianjurkan Media Prima Digital menerusi portal permainannya, MyGameOn serta rakan strategik Kitamen menawarkan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM180,000.

Dicetuskan oleh XPAX, pertandingan e-Sukan kali ini membabitkan persaingan tiga permainan popular Mobile Legends Bang Bang, Pro Evolution Soccer 2019 (PES 2019) dan DOTA 2.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali berkata, beliau gembira dengan sambutan yang diterima dan ia di luar jangkaan.

PENUNTUT UAIM (kiri) menentang Politeknik Kota Bharu pada suku akhir permainan Mobile Legends Kejohanan e-Sukan Kampus Semester 1. — FOTO Khairul Azhar Ahmad
PENUNTUT UAIM (kiri) menentang Politeknik Kota Bharu pada suku akhir permainan Mobile Legends Kejohanan e-Sukan Kampus Semester 1. — FOTO Khairul Azhar Ahmad

“Kami mendapat maklum balas positif di semua lokasi zon final XPAX KEK.

“Semestinya, penganjuran acara e-Sukan kampus terbesar ini menjanjikan pengalaman berbeza apabila kami berjaya mengumpulkan bakat e-Sukan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kejohanan itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa komitmen yang diberikan penaja utama, XPAX dalam memperkasa industri e-Sukan negara.

“Terima kasih atas sokongan yang diberikan dan tidak dilupakan juga kerjasama daripada pengurusan kampus yang terbabit juga penting dalam membangunkan industri e-Sukan di Malaysia seterusnya membentuk ekosistem sihat yang boleh membudayakan konsep ‘healthy gaming’ dalam kalangan pelajar IPT di seluruh negara,” katanya.

Pada kejohanan itu, institusi pengajian tinggi dengan pasukan yang meraih kemenangan paling banyak akan menerima biasiswa bernilai RM50,000 dari Celcom, XPAX, sebagai salah satu inisiatif memperkasa e-Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 9:16 PM