HOE Yean (tengah) diapit pemenang pingat perak daripada Thailand dan perenang Vietnam yang meraih gangsa. FOTO Reuters
HOE Yean (tengah) diapit pemenang pingat perak daripada Thailand dan perenang Vietnam yang meraih gangsa. FOTO Reuters
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Emas sulung skuad renang negara di pentas Sukan Sea Kemboja 2023 akhirnya dijelmakan Khiew Hoe Yean dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, hari ini.

Hoe Yean melakukan catatan 1:48.91 saat dalam final yang berlangsung di Pusat Akuatik Morodok Techo untuk mempertahankan kilauan emas yang dimenanginya dalam acara sama pada edisi 2021 di Hanoi, tahun lalu.

Perenang berusia 21 tahun itu mengetepikan cabaran atlet Thailand, Dulyawat Kaewsriyong yang mencatat masa 1:49.29, manakala gangsa milik Nguyen Huy Hoang dari Vietnam.

Hoe Yean menjelaskan dia memberi fokus untuk melakukan terbaik pada acara itu dan gembira apabila dapat mempertahankan pingat emas.

"Saya melakukan usaha lebih 100 peratus dan hari ini saya fokus untuk memberikan yang terbaik. Saya berjaya raih emas, jadi saya boleh fokus untuk acara lain selepas ini," katanya.

Sementara itu, Phee Jinq En sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara 100 meter kuak dada wanita selepas melakar pencapaian sama pada Sukan Sea Vietnam, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 9:16 PM