WAWRINKA meraikan kemenangan ke atas  Griekspoor. FOTO Reuters
WAWRINKA meraikan kemenangan ke atas Griekspoor. FOTO Reuters
Reuters

Monte Carlo: Bekas juara Stan Wawrinka bangkit menewaskan Tallon Griekspoor 5-7, 6-3, 6-4 dan mara ke pusingan kedua Masters Monte Carlo semalam manakala penampilan pertama Andy Murray di kejohanan itu sejak 2017 berakhir dengan kekalahan di tangan Alex de Minaur.

Wawrinka yang tewas di set pertama dalam aksi sengit, kembali mendominasi baki dua set berikutnya.

"Sangat penting untuk kekal tenang," kata juara 2014 Wawrinka, 38, pemain tertua di kejohanan kali ini.

"Pada pusingan pertama anda perlu cari rentak permainan. Aksi pertama di atas tanah liat tidak pernah mudah menentang pemain yang bagus. Ia penting berjuang sehingga saat akhir."

Juara tiga kali grand slam itu akan menentang pemain nombor 10 dunia Taylor Fritz.

"Dia pemain yang hebat," kata Wawrinka merujuk pemain Amerika Syarikat itu. "Dia pemain sepuluh teratas, menang banyak perlawanan dan sangat bahaya dalam banyak permukaan gelanggang."

Murray pula layak automatik ke kejohanan berprestij itu selepas beberapa pemain termasuk pemain nombor dua dunia Carlos Alcaraz dan juara sebelas kali Rafa Nadal menarik diri akibat kecederaan.

Namun bekas pemain nombor satu dunia bergelut di gelanggang tanah liat dan tewas 6-1, 6-3 kepada pemain Australia, De Minaur dalam tempoh 86 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 11:42 AM