Reuters

Monte Carlo: Kecederaan siku yang dialami pemain nombor satu dunia Andy Murray (gambar) sudah semakin sembuh dan dia tidak sabar untuk melangkah ke final Monte Carlo Masters buat kali pertama.

Murray akan memulakan kempen di kejohanan berkenaan dengan menentang Gilles Muller di pusingan kedua.

Murray tidak bermain sejak Mac dan lebih banyak menghabiskan masa di gimnasium bagi memastikan tahap kecergasannya tidak merosot.

“Saya tidak akan menyertai pertandingan kecuali saya rasa selesa dengan diri sendiri. Bagaimanapun, saya hanya baru dapat mencapai tahap seperti sebelum ini beberapa hari lalu,” kata Murray di dalam laman web www.
atpworldtour.com.

“Saya cuba mendapatkan prestasi terbaik secara perlahan-lahan bagi memastikan ia tiba tepat pada masanya. Setiap hari saya semakin positif dan ia melonjakkan keyakinan saya.”

Murray memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan aksi di gelanggang tanah liat dan gelaran pertamanya di permukaan itu ialah di Munich, dua tahun lalu - 10 tahun selepas berkecimpung secara profesional.

Dia meneruskan catatan itu dengan memenangi Terbuka Madrid setahun kemudian selepas mengalahkan Rafa Nadal yang dilabel ‘Raja Tanah Liat’.

Sejak 2015, sudah tiga kali di melangkah ke final kejohanan yang berlangsung di atas gelanggang tanah liat. Dia menewaskan Novak Djokovic di Madrid 2016 dan Terbuka Perancis sebelum mengalahkan musuh utamanya itu di final Terbuka Itali tahun lalu.

“Saya seronok bermain di gelanggang tanah liat tetapi saya masih lagi tercari-cari rentak sebenar,” kata Murray.

“Sejak bertahun-tahun lalu, saya menghabiskan banyak masa bersama pasukan saya untuk mencipta pergerakan di gelanggang. Sebaik mendapat formulanya nanti saya yakin ia akan memainkan peranan besar dalam karier saya.

“Kemenangan pasti melonjakkan semangat anda untuk bermain dalam semua pertandingan.”

Murray tewas kepada Nadal di separuh akhir Monte Carlo tahun lalu dan berkata dia sedang berusaha memperbaiki catatannya di kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:15 AM