MUHAMMAD Arsyad Md Saat. FOTO Owee Ah Chun
MUHAMMAD Arsyad Md Saat. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara negara, Muhammad Arsyad Md Saat tidak mahu kehadirannya di Sukan Sea Kemboja Mei ini sebagai pelengkap semata-mata apabila mengidamkan mahu membawa pulang pingat dalam acara individu kelak.

Arsyad yang akan beraksi dalam acara 4x100 meter (m) dan 200m akan menjalani persiapan rapi bagi memastikan dirinya berada pada tahap optimum pada temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, dia ketika ini mengikuti program yang direncanakan oleh barisan kejurulatihan dalam usaha merealisasikan matlamat membawa pulang emas dalam acara yang disertainya itu.

"Jika diikutkan saya fokus kepada kedua-dua acara yang disertai walaupun sebenarnya matlamat adalah mahu mencipta keputusan positif iaitu memenangi pingat dalam acara 200m.

"Setakat ini, persiapan berjalan lancar dan tiada masalah mengikuti setiap perancangan atau program yang diatur oleh barisan kejurulatihan.

"Melihat kepada peluang yang ada, saya positif ada rezeki untuk kita memenangi pingat walaupun mendapat tentangan sengit daripada negara lain," katanya.

Mengikut rekod, pada Sukan Sea Hanoi tahun lalu, kuartet 4x100 lelaki negara yang ketika itu dibarisi Muhammad Arsyad, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Azeem Fahmi, dan Muhammad Zulfiqar Ismail berjaya memenagi pingat perak.

Malah, mereka juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.09 saat(s) sekali gus memperbaiki rekod 39.27s yang dibuat pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Namun, dalam acara final 200m pula, Muhammad Arsyad melakukan 20.95s untuk berada di tempat keempat keseluruhan manakala seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa melengkapkan perlumbaan dengan 21.24s untuk berada di tempat keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 11:45 AM