KUARTET 4x100 meter lelaki negara berjaya meraih pingat perak serta memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA ke-31, di My Dinh National Stadium, Hanoi. -FOTO Bernama
KUARTET 4x100 meter lelaki negara berjaya meraih pingat perak serta memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA ke-31, di My Dinh National Stadium, Hanoi. -FOTO Bernama

Ferzalfie Fauzi, Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Selepas membantu kuartet 4x100 meter lelaki meraih perak dan mencatat rekod baru kebangsaan, pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi semakin bersemangat untuk mempertahankan emas 100m di Sukan Sea Vietnam esok.

Azeem bersama tiga lagi pelari negara, Arsyad Md Saat, Haikal Hanafi dan Zulfiqar Ismail mencatat rekod baru 39.09 saat (s) sekali gus memadam rekod lama 39.27 yang dibuat di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Kejayaan itu sedikit sebanyak meningkatkan moral pelari berusia 18 tahun itu untuk mengekalkan emas 100m lelaki yang dimenangi pada 2017 dan 2019.

Dia yang dikenali sebagai 'Usain Bolt Malaysia' mengakui misi utama ketika ini ialah memburu tempat ke final terlebih dahulu.

"Untuk penampilan pertama saya di pentas Sukan Sea ini saya tidak meletakkan sebaran harapan tetapi saya mahu layak ke pentas final terlebih dahulu.

"Apa pun ketika ini, saya dalam prestasi terbaik tetapi ada beberapa kelemahan yang perlu saya perbaiki terutama di pelepasan permulaan. Saya harap segalanya berjalan lancar," katanya di Stadium Nasional My Dinh malam semalam.

Selain Azeem, cabaran negara bagi acara 100m di Hanoi kali ini turut akan digalas Muhammad Arsyad.

"Apapun, untuk memenangi acara 100m ini apa-apa boleh berlaku dan sesiapa yang terbaik pada masa itu dia akan muncul juara," ujarnya.

Kuartet 4x100 wanita pula meraih gangsa selepas Nor Sarah Adi, S Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias mencatat masa 45.32s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:24 PM