HANNAH mengadakan pertemuan dengan atlet badminton negara di ABM. FOTO Fathil Asri
HANNAH mengadakan pertemuan dengan atlet badminton negara di ABM. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Demi mengharumkan nama negara di pentas Olimpik, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjanji prospek pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kira atlet kebangsaan ataupun profesional akan diberikan sokongan dan bantuan sewajarnya.

Menurut menterinya, Hannah Yeoh, prospek pingat akan dibantu menerusi satu program persediaan baharu menjelang Olimpik Paris yang dikenali sebagai 'Road to Gold' yang akan diumumkan pihak kementerian dalam masa terdekat ini.

"Untuk persiapan Road to Gold, kita berjanji bagi pihak kerajaan, memang setiap pemain yang mempunyai peluang besar mendapatkan pingat di Sukan Olimpik, kita akan bantu dalam Jawatankuasa Road to Gold," katanya selepas sesi lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Ujar Hannah, bantuan berkenaan tidak kira dalam apa bentuk sekali pun akan diumumkan apabila mereka sudah bersedia nanti.

Sebelum ini, Hannah mengadakan pertemuan bersama pemain badminton profesional negara termasuk Lee Zii Jia bagi mendengar keluhan dan cabaran dihadapi mereka.

"Saya bukan saja jumpa Lee Zii Jia, pemain profesional lain juga saya ada jumpa dan saya mendengar cabaran dan masalah dihadapi mereka tetapi masalah ini saya tak boleh putuskan seorang diri, kena berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara), BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

"Jadi saya memang suka stail sekarang ini, di mana kita adakan banyak perbincangan bersama. Ini bukan satu keputusan yang seorang menteri boleh buat," kata Hannah.

Dalam pada itu, hasil daripada kunjungan sulungnya ke ABM, Hannah diberikan taklimat mengenai isu dihadapi dan antara yang dikenal pasti adalah mengenai kekurangan tempat latihan di infrastruktur di akademi berkenaan.

"Saya diberikan taklimat oleh BAM dan difahamkan mereka kekurangan tempat latihan dan ini satu masalah yang perlu ditangani dan saya akan bawa balik perkara ini ke KBS untuk berbincang bersama Perbadanan Stadium untuk bagaimana mengatasi masalah ini.

"Kekurangan tempat untuk berlatih bermaksud pemain badminton kita, perlu menguruskan masa mereka dan urusan masa mereka itu mungkin tidak optimum dan tidak bagus untuk mereka," tambahnya.

Hannah berkata, beliau akan selesaikan masalah kekurangan tempat latihan dengan secepat mungkin dan melihat perkara itu apabila diberikan kertas cara serta selepas mengadakan perbincangan dengan perbadanan stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 2:03 PM