FURY mengakui hidup terasa kosong selepas empat bulan bersara daripada tinju. FOTO Reuters
FURY mengakui hidup terasa kosong selepas empat bulan bersara daripada tinju. FOTO Reuters
AFP

London: Tyson Fury berkata, dia membuat keputusan untuk bersara sementara daripada tinju kerana sedar tiada jalan lain untuk terus kekal waras.

Selepas menewaskan Dillian Whyte di Wembley pada April lalu, juara heavyweight WBC yang tidak pernah tewas itu berkata, dia akan bersara.

Tetapi, petinju berusia 34 tahun itu menukar keputusan beberapa kali sebelum mengesahkan akan mempertahankan gelaran menentang seorang lagi petinju Britain, Derek Chisora di Stadium Tottenham Hotspur di London pada 3 Disember.

Pertarungan itu diadakan selepas usaha Fury mencabar seorang lagi juara heavyweight dunia, Oleksandr Usyk dan seteru Britain, Anthony Joshua gagal menghasilkan pertarungan berprofil tinggi itu.

Dalam temu bual dengan BT Sport, Fury berkata, dia kembali bertarung selepas mengalami emosi sama seperti dirasakan ketika kemenangan mengejut ke atas Wladimir Klitschko pada 2015.

Kemenangan itu memberikan Fury tali pinggang WBA, IBF dan WBO, tetapi kemudian mengalami masalah ketagihan arak dan dadah sehingga menyebabkan masalah kesihatan mental.

"Selepas menewaskan Dillian Whyte pada April, saya memang mahu bersara dan bersumpah kepada Tuhan, saya tidak pasti mengenai sesuatu dalam hidup saya," kata Fury.

"Saya beberapa bulan tidak beraksi di gelanggang, saya menulis buku ketiga dan mencipta lagu untuk Piala Dunia, jadi saya sangat sibuk.

"Tetapi, tanpa tinju, saya merasakan hidup seperti tiada tujuan lagi.

"Sepanjang empat bulan bersara, saya tidak merasakan seperti pada 2015, 2016, 2017 atau sebelum itu.

"Tetapi, saya merasakan seperti kembali pada zaman apabila kehidupan sangat bosan, sangat gelap dan tiada apa yang menggembirakan saya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 10:27 AM