KIPCHOGE perbaharui rekod dunia maraton miliknya sendiri.
KIPCHOGE perbaharui rekod dunia maraton miliknya sendiri.
Agensi

London: Pemegang rekod dunia maraton, Eliud Kipchoge antara sepuluh atlet tersenarai untuk Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Dunia 2022 manakala dua jaguh dari Amerika Syarikat (AS) iaitu juara dunia 110 meter (m) berpagar Grant Holloway dan juara dunia 200m, Noah Lyles turut memberikan cabaran.

Lima atlet akan disenarai pendek bulan depan sebelum pemenang diumumkan pada Disember.

Atlet Norway, Karsten Warholm muncul pemenang tahun lalu selepas memenangi pingat emas 400m di Sukan Olimpik Tokyo.

Ia satu lagi tahun menakjubkan buat atlet Kenya, Kipchoge yang memperbaharui rekod dunia maraton miliknya dengan catatan dua jam, satu minit dan sembilan saat.

Jaguh lompat bergalah Mondo Duplantis dari Sweden turut tersenarai selepas muncul juara dunia kedua-dua dalam dan luar dewan.

Duplantis juga menjuarai Liga Berlian dan Kejohanan Eropah serta memperbaiki rekod dunianya dengan catatan 6.21m.

Holloway dan Lyles sukar digugat tahun ini apabila meraih pingat emas Kejohanan Dunia di Eugene, Oregon pada Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 12:30 PM