BROMELL berpeluang meraih emas pertama buat AS sejak 2004.
BROMELL berpeluang meraih emas pertama buat AS sejak 2004.
AFP

Tokyo: Sukan Olimpik Tokyo menyaksikan Usain Bolt tidak bertanding kali pertama sejak 17 tahun lalu selepas mengumumkan persaraan pada 2017.

Namun ketiadaan legenda pecut 100 meter Jamaica itu memberi peluang kepada atlet muda meningkat naik untuk mencipta legasi sendiri seperti jaguh lompat bergalah Sweden Armand Duplantis, atlet pecut Amerika Syarikat Noah Lyles dan pemegang rekod dunia 400m berpagar Karsten Warholm serta Sydney McLaughlin.

Bolt yang berusia 20 tahun tersingkir awal acara 200m ketika tampil kali pertama di Olimpik Athens 2004, namun kemudiannya bangkit dengan meraih lapan emas pada temasya 2008, 2012 dan 2016.

Ketiadaannya sukar dicari ganti namun satu 'tragedi' apabila olahraga yang akan membuka tirai pada Jumaat ini berlangsung tanpa penonton kerana ia menampilkan atlet muda bersemangat tinggi untuk menjadi sehebat Bolt.

Duplantis bukan sahaja mencipta rekod baharu dalam dewan dengan catatan 6.18m tahun lalu malah melepasi 6.15m acara lompat bergalah luar dewan sekaligus mengatasi catatan Sergey Bubka pada 1994.

Acara 400m berpagar turut menjadi tumpuan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita selepas atlet Norway, Warholm dan pelari AS, Sydney kedua-duanya mencipta rekod baharu dunia sebelum datang ke Tokyo.

Trayvon Bromell pula berusaha menjadi atlet pecut pertama AS menjuarai 100m sejak Justin Gatlin pada 2004 dan kali ini tiada pencabar serius dari Jamaica manakala Shelly-Ann Fraser-Pryce memburu emas ketiganya di Sukan Olimpik dalam kategori wanita.

Juara dunia 200m, Lyles bakal berdepan saingan sengit rakan senegara Erriyon Knighton yang mencatat 19.88s pada usia 17 tahun pada Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 10:20 AM