ELAINE kekal penguasaan ratu pecut dunia. FOTO AFP
ELAINE kekal penguasaan ratu pecut dunia. FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Juara Olimpik Elaine Thompson-Herah melakar kemenangan dramatik menewaskan Sha'Carri Richardson di Prefontaine Classic di Oregon, semalam.

Pelari Jamaica itu melintasi garisan penamat di Hayward Field merekodkan 10.54 saat - catatan kedua terpantas dalam sejarah manakala Sha'Carri mencatatkan 11.14s.

Saingan Liga Berlian di Eugene itu dianggap peluang buat Sha'Carri menunjukkan kepada dunia selepas dia dilarang beraksi di Olimpik apabila diuji positif mengambil ganja ketika menang di Kejohanan Ujian Olimpik AS pada Jun.

Namun pada penampilan pertama sejak kembali dari penggantungan, pelari berusia 21 tahun dari Texas itu gagal memberikan cabaran kepada Elaine yang meraih kemenangan berganda di Olimpik Tokyo dalam acara 100 dan 200m apabila jauh meninggalkan Sha'Carri di belakang.

Rakan senegara Elaine, Shelly-Ann Fraser-Pryce di tempat kedua dengan catatan 10.73s manakala Shericka Jackson ketiga 10.76s mengulangi pencapaian kedudukan podium di Olimpik dalam acara 100m.

Catatan masa Elaine itu kurang 0.07s daripada catatan rekod Olimpik 10.61s yang dilakarkan pada 31 Julai lalu.

Mendiang Florence Griffith Joyner kekal pelari terpantas dunia dengan Elaine kini hampir menyamai catatan yang pernah dilakarkan oleh pelari Amerika yang melakarkan rekod dunia 10.49s pada 1988.

"Untuk kembali dengan catatan masa terbaik peribadi selepas kejohanan, ia satu yang menakjubkan," kata Elaine.

"Ia sangat bermakna buat saya kerana tugas saya adalah untuk memberi inspirasi kepada generasi. Saya mempunyai banyak perlumbaan jadi saya tidak boleh terbawa-bawa perasaan teruja itu. Saya perlu terus menjalankan tugas."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:04 PM