Pemain ragbi Terengganu membersihkan peralatan mangsa banjir di Hulu Terengganu.
Pemain ragbi Terengganu membersihkan peralatan mangsa banjir di Hulu Terengganu.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Setiap kali berlaku banjir, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) antara persatuan yang aktif membantu mangsa yang terkesan dengan musibah itu.

Terbaru seramai 30 pemain lelaki dan wanita serta pegawai persatuan itu turun padang membantu mangsa banjir luar biasa yang berlaku di Hulu Terengganu dua minggu lalu.

Pengorbanan mereka harus dipuji selain boleh dijadikan teladan kepada persatuan sukan lain dalam membantu masyarakat yang terkesan dengan pelbagai musibah sekali gus boleh meringankan beban yang dialami mangsa.

Timbalan Yang Dipertua PRNT, Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab yang mengetuai misi itu bersyukur kerana semua perancangan dan kerja selama seminggu di Hulu Terengganu berjalan lancar.

"Kami bersyukur kerana dapat sama-sama menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan dengan musibah itu.

"Misi kami bermula pada peringkat awal lagi bencana itu melanda dan setelah banjir surut, fokus persatuan kami beralih membantu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kediaman mangsa bermula di kampung Gunung, Menerong dan diikuti kampung lain.

Pemain ragbi Terengganu bergotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di Hulu Terengganu. FOTO Ihsan PRNT
Pemain ragbi Terengganu bergotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di Hulu Terengganu. FOTO Ihsan PRNT

"Kami rasa bertuah setelah mendapat kepercayaan daripada perunding kewangan AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang menyumbang lima tan keperluan asas untuk diagihkan kepada masyarakat yang terkesan di Hulu Terengganu ini.

"Dengan bantuan tenaga dan barangan ini, sekurang-kurangnya dapat meredakan kesedihan dan meringankan beban yang dialami mangsa kerana ada sebahagian rumah penduduk ditenggelami air banjir selain kehilangan tempat tinggal akibat musibah luar biasa itu," katanya yang menyatakan musim lalu PRNT turut membantu mangsa kepala air di Kedah dan banjir besar di Kelantan pada 2014.

Seorang pemain, Jasmin Ahmad Samsuri berkata, dia bersyukur kerana dipilih menyertai misi kemanusiaan itu walaupun negara masih lagi berperang dengan wabak pandemik Covid-19.

"Ini satu pengalaman baharu malah kami membantu sedaya yang termampu dan bergotong-royong menolong masyarakat yang berada dalam kesedihan dan kesusahan.

"Di sebalik pengorbanan ini lahir kemanisan kerana ianya memberi makna yang begitu mendalam kepada saya yang tidak pernah mengalaminya, saya harap mereka tabah melalui ujian besar ini," katanya.

Sementara itu mangsa banjir, Norasyikin Mohamad dari kampung Gunung, Menerong berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan daripada mereka yang prihatin dengan kesusahan yang dialaminya akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 4:36 PM