DJOKOVIC bukan saja tumpas di Dubai malah hilang gelaran nombor satu dunia. FOTO Reuters
DJOKOVIC bukan saja tumpas di Dubai malah hilang gelaran nombor satu dunia. FOTO Reuters
AFP

Dubai: Novak Djokovic tumpas dalam aksi suku akhir di Dubai dan hilang gelaran nombor satu dunia selepas kalah mengejut 4-6, 6-7 (4/7) kepada wakil Republik Czech, Jiri Vesely.

Beraksi dalam kejohanan pertamanya musim ini selepas diusir di Australia, Djokovic sekurang-kurangnya perlu untuk mara sehingga separuh akhir bagi menghalang Daniil Medvedev merampas mahkotanya.

Bagimanapun, Vesely pemain tangan kiri dari peringkat kelayakan berjaya mempertingkatkan rekodnya ke atas Djokovic kepada 2-0.

Dalam masa sama Medvedev mencatat kemenangan 6-2, 6-3 ke atas Yoshihito Nishioka pada suku akhir Terbuka Mexico.

Sekali gus menjadi pemain pertama sejak 2004 bukan dalam kalangan Big Four Djokovic, Rafael Nadal, Roger Federer dan Andy Murray untuk menduduki ranking nombor satu dunia.

Djokovic, yang memegang rekod 361 minggu sebagai pemain nombor satu dunia berkata, pada awal kejohanan dia akan menjadi orang pertama untuk mengucapkan tahniah kepada Medvedev jika pemain Russia itu berjaya memburu gelaran berkenaan.

"Saya kurang persediaan. Anda dapat lihat saya masih mencari rentak di dalam gelanggang.

"Jika lebih banyak saya beraksi, saya akan lebih selesa di dalam gelanggang. Saya tidak mempunyai banyak perlawanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, Medvedev berpeluang bertemu Rafael Nadal di separuh akhir - ulangan pertemuan di final Terbuka Australia yang dimenangi pemain Sepanyol itu untuk gelaran Grand Slam ke-21 dirinya.

"Ia bukan mudah untuk bermain apabila anda mendapat berita seperti ini hari ini. Memang saya tahu dia (Djokovic) tewas, tetapi saya tidak tahu ia akan menjadikan saya pemain nombor satu dunia," kata Medvedev.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 11:25 AM