DJOKOVIC berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Dubai. FOTO AFP
DJOKOVIC berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Dubai. FOTO AFP
Reuters

Dubai: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic sekali lagi mempamerkan aksi terpuji dalam kejohanan sulungnya sejak dilarang menyertai Terbuka Australia, apabila menumpaskan wakil Russia, Karen Khachanov 6-3 7-6(2) untuk mara ke suku akhir Kejohanan Dubai.

Sama seperti menundukkan Lorenzo Musetti pada perlawanan pembukaan, Djokovic menerima sokongan padu daripada penonton di Aviation Club dan memberi tindak balas dengan permainan sempurna.

Juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu mendominasi set pembukaan selepas mematahkan servis lawan di permainan keempat.

Saingan lebih sengit di set kedua apabila Khachanov bangkit selepas servisnya dipatahkan pada awal permainan untuk mengikat kedudukan 4-4.

Ia memaksa Djokovic untuk menghalang dan mengerah segala kudrat bagi menjinakkan Khachanov sehingga aksi diheret ke tiebreak namun ia tidak memberi masalah buat pemain Serbia itu ketika melakukan pukulan balas di mata kemenangan pertama.

Ini adalah kejohanan sulung Djokovic selepas harapannya untuk meraih kejuaraan Terbuka Australia kali ke-10 berkecai apabila diusir keluar daripada negara berkenaan berikutan isu vaksin Covid-19.

Seorang lagi pemain Russia, Daniil Medvedev, yang dikalahkan Nadal dalam aksi penuh mendebarkan di perlawanan akhir Terbuka Australia, mampu merampas kedudukan nombor satu dunia jika meraih trofi di Acapulco.

Djokovic mengakui sangat gembira apabila kembali turun ke gelanggang selepas berdepan situasi sukar di awal tahun.

"Saya sangat merinduinya. Ini adalah kehidupan saya. Ini saja yang saya tahu lakukan dan akan terus melakukannya selepas 20 tahun. Permainan tenis profesional adalah minat saya," katanya.

Djokovic akan berdepan pemain Republik Czech, Jiri Vesely selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 12:40 PM