ASHLEIGH berjaya merangkul kejuaraan Grand Slam ketiga di laman sendiri. FOTO Reuters
ASHLEIGH berjaya merangkul kejuaraan Grand Slam ketiga di laman sendiri. FOTO Reuters
Reuters

Melbourne: Ashleigh Barty menamatkan penantian Australia selama 44 tahun untuk menjadi pemain tuan rumah memenangi Terbuka Australia selepas jaguh nombor satu dunia itu menyekat kebangkitan Danielle Collins dari Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Kemenangan 6-3, 7-6 (2), membolehkan Ashleigh meraih kejuaraan Grand Slam buat kali ketiga.

Ashleigh menjadi pemain Australia pertama meraih kejuaraan kejohanan berkenaan selepas Chris O'Neil melakukannya buat kali terakhir pada 1978.

Chris yang turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan turut memberi sokongan padu tatkala penonton memenuhi Arena Rod Laver bagi menyaksikan detik bersejarah itu.

"Pertama sekali saya harus mengucapkan tahniah kepada Danielle dan pasukannya. Saya tahu anda akan terus berjuang dalam beberapa tahun lagi pada masa akan datang.

"Ini adalah pengalaman paling saya suka. Anda semua memang luar biasa, anda melegakan saya dan mendorong saya memberikan persembahan terbaik," kata Ashleigh mengucapkan penghargaan kepada semua staf sehingga ke budak pengutip bola.

Dia juga mengakui berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Australia ibarat impian menjadi kenyataan dan bangga menjadi rakyat Australia.

Pada 2017, Ashleigh berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia dan memenangi kejuaraan sulung WTA di Kuala Lumpur walaupun tampil sebagai pemain kelayakan.

Kejuaraan Grand Slam sulungnya ialah memenangi Terbuka Perancis pada 2019, sebelum merangkul gelaran kedua di Wimbledon pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 6:59 PM