Rafael Nadal bersama trofi perseorangan lelaki dimenangi di Terbuka Australia dekat Melbourne. FOTO AFP
Rafael Nadal bersama trofi perseorangan lelaki dimenangi di Terbuka Australia dekat Melbourne. FOTO AFP
AFP

Paris: Rekod gelaran ke-21 Grand Slam yang berjaya dilakar Rafael Nadal selepas memenangi saingan final Terbuka Australia malam tadi mendapat pujian Roger Federer dan Novak Djokovic yang sebelum ini terikat dengannya bersama 20 kejuaraan.

Nadal, 35, bangkit selepas ketinggalan dua set untuk mengatasi pemain Rusia, Daniil Medvedev 2-6, 6-7 (5/7), 6-4, 6-4, 6-4 dalam saingan sengit 5 jam 24 minit di Melbourne.

Ia menampilkan usaha hebat Nadal pada saingan pembukaan kejuaraan utama tahun ini selepas terpaksa mengubah permainannya kerana penyakit tulang di kaki kiri yang menamatkan musimnya pada penghujung Ogos tahun lalu.

Federer yang hampir menjadi pemain pertama mencipta 21 kejuaraan namun tewas lima set kepada Djokovic pada final Wimbledon 2019, terlepas aksi di Terbuka Australia kerana kecederaan lutut.

"Kepada rakan saya dan pencabar yang hebat @rafaelnadal, tahniah kerana menjadi pemain pertama menang 21 gelaran Grand Slam," kata pemain berusia 40 tahun itu di Instagram.

"Beberapa bulan lalu kami berjenaka mengenai kami berdua menggunakan tongkat, menakjubkan. Jangan memandang rendah juara yang hebat.

"Etika kerja anda yang menakjubkan, dedikasi dan semangat juang adalah inspirasi kepada saya dan ramai lagi di seluruh dunia."

Impian Djokovic untuk menjadi pemain pertama melakar gelaran ke 21 Grand Slam di Australia musnah selepas berdepan isu vaksin.

Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun dari Serbia itu di Twitternya mengucapkan tahniah kepada rakannya itu dan turut memuji kemenangan dicapai Ashleigh Barty pada Sabtu.

"Pencapaian menakjubkan. Sentiasa mempamerkan semangat juang yang berjaya sekali lagi.

"Enhorabuena (tahniah – diikuti ikon bertepuk tangan, trofi dan tanda bagus)."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 9:17 AM