MARIA (kanan) bergambar bersama Petra selepas memenangi Terbuka China.
MARIA (kanan) bergambar bersama Petra selepas memenangi Terbuka China.

London: Kejuaraan Grand Slam dikongsi bersama bagaikan kepingan piza pada 2014 namun akhirnya Novak Djokovic dan Serena Williams masih menamatkan tahun sebagai pemain terbaik.

Buat kali pertama sejak 1998, semua pemenang lapan kejuaraan perseorangan Grand Slam adalah pemain berbeza.

Ketika empat juara wanita adalah ahli kelab elit semasa, pemain Switzerland, Stanislas Wawrinka dan Marin Cilic dari Croatia mencetus kejutan terbesar dalam tenis lelaki selama sedekad dengan kemenangan sulung.

Selepas bertahun-tahun dibayangi juara 17 acara Grand Slam dan warga senegara Roger Federer, Wawrinka memuncak di Melbourne, menundukkan Djokovic pada suku akhir Terbuka Australia sebelum tidak mempamerkan sebarang belas kasihan menewaskan pemain Sepanyol yang cedera, Rafael Nadal pada perlawanan akhir.

Nadal bangkit untuk meraih kejuaraan Terbuka Perancis kali kesembilan namun semuanya tidak menyebelahi pemain kelahiran Mallorca yang mudah mengalami kecederaan itu apabila kecundang mengejut di tangan pemain remaja Australia, Nick Krygios pada Wimbledon sebelum masalah kecederaan pergelangan tangan dan apendiks menyebabkannya terpaksa berehat lebih awal.

Federer, 33, merangkul lima kejuaraan namun gagal menambah koleksi Grand Slam.

Dia bagaimanapun hampir melakukannya. Jaguh Switzerland itu bersaing sengit dengan Djokovic pada final epik Wimbledon manakala beberapa minggu kemudian di New York dia menjadi pilihan muncul juara sebelum disingkirkan Cilic pada separuh akhir.

Cilic tidak mensia-siakan peluang muncul juara dengan mengalahkan Kei Nishikori dari Jepun, pemain lelaki pertama Asia mara ke final acara Grand Slam selepas mengecewakan Djokovic pada separuh akhir.

Djokovic, yang berkahwin dan menjadi bapa tahun ini, meraih tujuh kejuaraan dan mengungguli tiga kejohanan terakhirnya termasuk Pusingan Akhir Jelajah Dunia ATP.

“Saya berasa amat cergas secara fizikal,” jelas Djokovic. “Saya amat bermotivasi untuk terus bermain pada tahap tertinggi. Saya akan cuba mengekalkan status pemain nombor satu dunia buat beberapa tahun lagi.”

Seperti Djokovic, Serena, 33, akan memulakan 2015 di tangga pertama sekali lagi.

Pemain Amerika Syarikat itu, kini pemain nombor satu tertua dunia, menenggelamkan cabaran Caroline Wozniacki bagi gelaran Grand Slam ke-18 pada Terbuka AS, sekali gus menyamai rekod Martina Navratilova dan Chris Evert serta hanya ketinggalan empat kejuaraan di belakang pemegang rekod Steffi Graf.

Sekalipun tidak begitu dominan seperti tahun sebelumnya, dia masih mampu meraih tujuh kejuaraan dan cara dia mengungguli saingan di Flushing Meadows dengan memenangi 14 set berturut-turut dan hanya tewas 32 permainan amat mengagumkan.

Simona Halep dari Romania, pemain paling meningkat dalam jelajah wanita dan Eugenie Bouchard dari Kanada kedua-duanya layak ke final Grand Slam sulung mereka namun belum mampu menjulang trofi buat generasi baru.

Pemain veteran China, Li Na, yang bersara September lalu, menjuarai Terbuka Australia, Maria Sharapova mengatasi Simona untuk memenangi Terbuka Perancis manakala Petra Kvitova dari Czech membenam Eugenie bagi kejuaraan Wimbledon keduanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:22 AM