Tyson Fury
Tyson Fury
AFP

Los Angeles: Juara heavyweight dunia, Tyson Fury harus berdepan Dillian Whyte dalam pertarungan mempertahankan kejuaraan seperti disyaratkan Majlis Tinju Dunia (WBC).

WBC berkata Whyte kini diletakkan sebagai pencabar wajib kepada Fury, yang mengekalkan mahkota kejuaraan dalam kemenangan menerusi knockout ke atas Deontay Wilder di Las Vegas pada Oktober lalu.

"WBC dengan ini mengarahkan bermulanya tempoh rundingan bebas bagi syarat wajib di bawah Undang-undang dan Syarat WBC membabitkan pertarungan antara juara heavyweight dunia WBC, Tyson Fury dan pencabar wajib yang juga juara interim dunia WBC, Dillian Whyte," menurut WBC dalam satu kenyataan di Twitter.

WBC sebelum ini pada Oktober memaklumkan, Fury hanya perlu berdepan Whyte jika dia tidak dapat mengatur pertarungan dengan Oleksandr Usyk dari Ukraine untuk mengesahkan gelaran juara heavyweight WBO, WBA dan IBF.

Bagaimanapun selepas 30 hari tempoh persetujuan bagi Fury dan Usyk tamat, pihak WBC kini meletakkan Whyte sebagai lawan seterusnya buat Fury.

Whyte bulan lalu mendakwa Fury 'melarikan diri' dalam merancang pertarungan itu.

"Fury sudah diarahkan untuk berdepan dengan saya sebanyak dua kali.. dia sentiasa memberikan alasan," kata Whyte.

"Diharapkan kali ini dia tidak ada pilihan. Apa yang harus dilakukannya? Campakkan tali pinggang dalam tong sampah dan lari dengan lebih banyak wang yang diperoleh untuk menentang Wilder?"

Usyk dijangka berdepan pertarungan semula menentang bekas juara, Anthony Joshua pada awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:06 AM