FURY (kanan) sedia untuk berdepan Whyte. FOTO Agensi
FURY (kanan) sedia untuk berdepan Whyte. FOTO Agensi
Reuters

London: Tyson Fury akan mempertahankan kejuaraan heavyweight WBC menentang Dillian Whyte pada 23 April depan selepas penyandang juara itu mengumumkan dalam media sosial awal pagi tadi.

Fury, yang tidak pernah bertarung sejak menumpaskan Deontay Wilder dalam pertarungan Oktober lalu berkata, Whyte sudah menandatangani kontrak sejam sebelum tarikh akhir.

Pertarungan berkenaan dijangka berlangsung di Stadium Wembley, London.

"Dia (Whyte) sudah menandatangani pertarungan yang bakal meraih pendapatan paling tinggi dalam hidupnya," kata Fury menerusi video yang dimuat naik di Twitter.

Fury yang terkenal dengan gelaran Gypsy King, berkata dia akan berehat sebentar dari media sosial sehinggalah pada hari pertarungan menentang Whyte.

"Saya akan menyertai kem latihan untuk memberikan ruang buat Dillian Whyte mendapat penghormatan daripada seluruh dunia.

"Saya tidak akan memandang rendah sesiapa pun dalam hidup saya, dan saya akan memberikan dia semua penghormatan yang sepatutnya," kata Fury.

Whyte adalah pencabar wajib untuk tali pinggang WBC Fury dan menunggu bertahun-tahun untuk merebut gelaran dunia sebagai pencabar teratas WBC.

Selepas berbulan-bulan rundingan berlarutan, penganjur bersama Fury, Frank Warren memenangi bidaan pada Januari dengan tawaran AS$41 juta (RM171 juta) menewaskan penganjur Whyte, Eddie Hearn yang juga satu-satunya pembida lain.

Fury kini bersedia untuk menerima 80% daripada jumlah itu dan Whyte baki 20%.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:05 PM