MEDVEDEV meraikan kemenangan ke atas Zverev.
MEDVEDEV meraikan kemenangan ke atas Zverev.
AFP

Turin: Juara bertahan Daniil Medvedev makin menghampiri saingan empat terakhir selepas menewaskan Alexander Zverev 6-3, 6-7 (3-7), 7-6 (8-6) dalam aksi sengit Pusingan Akhir ATP di Turin.

Pilihan kedua dari Rusia itu terlepas dua mata akhir pada tie-break set penentuan namun pantas menebus kesilapan sebelum menang dalam masa dua jam 35 minit.

"Sudah pasti antara perlawanan paling diingati," kata juara Terbuka AS itu yang menewaskan pemain Poland, Hubert Hurkacz dalam aksi pembukaan.

Medvedev kini mengatasi Zverev 6-5 dari segi rekod pertemuan selain menewaskannya di peringkat 'round-robin' tahun lalu.

"Permainan tenis memang begitu," tambahnya. "Anda hanya perlu lakukan yang terbaik. Kadang-kadang tuah menyebelahi anda, ada kalanya tidak."

Medvedev masih perlu menewaskan pemain muda Itali, Jannik Sinner pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Sinner yang menggantikan rakan senegara, Matteo Berrettini pantas mencetuskan impak apabila menewaskan pemain Jerman Hubert Hurkacz 6-2, 6-2.

Naib juara Wimbledon, Berrettini terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan perut ketika menentang Zverev pada aksi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 12:38 PM